MARILAH kita bersama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah Subhanahu Wata’ala dengan penuh keyakinan dan keikhlasan dalam melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita tergolong di kalangan orang yang mendapat rahmat Allah Subhanahu Wata’ala di dunia mahupun di akhirat. Alhamdulillah, kini jemaah haji telah pun selesai mengerjakan ibadat haji, kita berdoa semoga para jemaah haji beroleh haji yang mabrur dan amalan mereka diterima oleh Allah Subhanahu Wata’ala dan seterusnya kembali ke tanah air dengan selamat, insya-Allah. Tidak dinafikan pada masa ini, kaum keluarga dan sanak-saudara jemaah haji yang berada di tanah air sudah setentunya telah merancang untuk membuat persiapan bagi menyambut kepulangan ahli keluarga mereka yang akan pulang ke tanah air dengan penuh kesyukuran dan kegembiraan, namun dalam kesibukan membuat persediaan menyambut ketibaan dhuyufurahman (tetamu Allah) itu, kita hendaklah sentiasa beringat supaya sambutan yang diadakan ini nanti tidak bertentangan dengan hukum agama kita. Perlu kita fahami bahawa sambutan tersebut diadakan adalah sebagai menzahirkan rasa syukur kepada Allah Subhanahu Wata’ala kerana para jemaah haji telah selesai mengerjakan ibadat haji serta di atas keperluan mereka dari Tanah Suci Mekah Al-Mukaramah. Oleh yang demikian kita bolehlah mengadakannya secara sederhana mengikut kemampuan masing-masing dan elakkanlah dari berbelanja berlebih-lebihan kerana agama Islam melarang umatnya dari melakukan pembaziran. Sebagaimana kelaziman orang kita di Brunei, apabila menyambut kepulangan jemaah haji akan mendirikan pintu-pintu gerbang dan kain rentang yang mengandungi perkataan 'Semoga Beroleh Haji Yang Mabrur' dan ada pula dengan perkataan 'Selamat Pulang Ke Tanah Air' dan sebagainya, ada juga yang meraikannya dengan mengadakan Majlis Dikir Marhaban. Perbuatan sedemikian tidak menjadi kesalahan selagi niat semata-mata untuk memuliakan dan menghormati kedatangan orang-orang haji tersebut serta menzahirkan rasa syukur kepada Allah Subhanahu Wata’ala, bukannya untuk menunjuk-nunjuk atau ria. Apa yang penting janganlah menganggap perkara tersebut suatu kewajipan yang mesti dilakukan sehingga membebankan. Kalau dahulunya orang menyambut ketibaan jemaah haji yang sampai di rumah dengan taburan beras kuning dan wang syiling, serta menghamparkan kain untuk laluan jemaah haji yang pulang, namun Alhamdulillah amalan tersebut tidak lagi dilakukan. Ini jelas membuktikan betapa orang-orang kita Brunei sudah menyedari dan mengetahui amalan-amalan yang tidak sepatutnya dilakukan oleh mereka, apatah lagi amalan tersebut hanya membawa kepada perbuatan dosa bilamana orang-orang yang datang meraikan ketibaan jemaah haji itu berebut-rebut dan bercampur di antara lelaki dan perempuan tanpa mengira mahram atau bukan mahram demi untuk mendapatkan wang syiling, kain dan sebagainya dengan kepercayaan untuk memperolehi berkat.
Agama Islam telah mengajarkan adab-adab yang digalakkan untuk melakukannya ketika menyambut kepulangan jemaah haji, antaranya kita disunatkan untuk bersalaman dan berjabat tangan serta berpelukan, sambil mengucapkan, maksudnya: "Semoga Allah menerima ibadat haji engkau dan mengampukan dosa engkau serta menggantikan perbelanjaan yang telah engkau keluarkan". Dalam perkara bersalaman dan berpelukan itu, perlulah diingat bahawa hendaklah di antara lelaki dengan lelaki dan perempuan dengan perempuan sahaja, atau sama mahramnya sahaja.
Selain dari itu, adalah elok juga bagi mereka yang menyambut ketibaan orang haji itu meminta doakan kepada orang-orang yang baru balik haji, kerana doa mereka adalah mustajab, sebagaimana hadis Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, maksudnya : "Dari Ibnu Umar Radiallahuanhuma, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda : Apabila engkau bertemu orang haji (yang baru balik haji) maka bersalamlah dengannya dan berjabat tanganlah dengannya dan suruhlah dia berdoa memohon keampunan untuk dirimu sebelum dia masuk ke rumahnya, maka sesungguhnya dia itu telah mendapat keampunan Allah Ta’ala (doanya adalah dimakbulkan)". - Riwayat Al-Imam Ahmad.
Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam juga ada mengajarkan supaya orang-orang haji itu sendiri apabila ia hendak sampai ke rumah, sunat baginya untuk singgah ke masjid terlebih dahulu dan melakukan Sembahyang Sunat Dua Rakaat. Dan apabila sampai ke rumahnya pula, dia bersembahyang lagi dua rakaat dan berdoa serta bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala di atas selamatnya dia kembali kepangkuan kaum keluarganya. Demikianlah wahai kaum Muslimin di antara beberapa amalan dan adab bagi orang yang balik dari menunaikan ibadat haji dan orang yang menyambut kedatangan mereka, maka ikutlah panduan tersebut dan janganlah melakukan amalan-amalan yang bertentangan dengan ajaran agama Islam semata-mata hanya untuk mengikut kebiasaan dan adat resam. Janganlah sampai kita melakukan perkara-perkara yang di anggap bid’aah sai’at atau bid’aah dhalalah, yang boleh menyebabkan kita masuk Neraka, Na’uzubillahi Minzalik. Akhirnya sama-samalah kita berdoa semoga jemaah haji khususnya jemaah haji Negara Brunei Darussalam mendapat haji yang mabrur dan Selamat Kembali Ke Tanah Air. Amin Ya Rabal ‘alamin.
Firman Allah Subhanahu Wata’ala dalam Surah Ali ‘Imran ayat 31, tafsirnya : "Katakanlah wahai Muhammad, jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah Mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu dan ingatlah Allah Maha Pengampun Lagi Maha Mengasihi"
No comments:
Post a Comment