MARILAH kita meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah Subhanahu Wata'ala dengan penuh keyakinan dan keikhlasan dengan melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang bertaqwa dan beriman serta selamat di dunia dan selamat di akhirat.
Agama Islam adalah agama yang mementingkan ilmu pengetahuan kerana ia amat bernilai untuk kehidupan manusia. Ilmu ibarat cahaya yang menyinari kegelapan, justeru itu Islam menggalakkan umatnya supaya berusaha mencari dan menimba ilmu sebanyak-banyaknya. Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam ada bersabda dalam sebuah hadis yang bermaksud: “Dari Anas ibni Malik ia berkata: Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam: Menuntut ilmu adalah satu kefarduan (wajib) ke atas setiap Muslim.” (Riwayat Ibnu Majah).
Dari hadis tersebut jelas bahawa ilmu itu sangat penting kerana dengan ilmu seseorang itu boleh maju, membangun dan berjaya,bukan sahaja untuk dirinya tetapi untuk masyarakat dan negaranya. Tiada guna memiliki harta yang banyak jika tiada berilmu kerana harta itu tidak akan berkembang dan bermanafaat, bahkan boleh menyebabkan pemiliknya tertipu dan terpedaya. Ketahuilah bahawa kedudukan orang yang berilmu adalah tinggi di sisi Allah Subhanahu Wata'ala sebagaimana firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Al Mujaadilah ayat 11 yang tafsirannya:
“Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama dari kalangan kamu beberapa darjat. Dan ingatlah Allah Maha Mendalam Pengetahuannya tentang apa yang kamu lakukan.”
Allah Subhanahu Wata'ala menganugerahkan akal kepada manusia untuk membezakan manusia dengan haiwan. Dengan akal manusia boleh berfikir dan membezakan mana yang hak, mana yang batil, mana yang benar dan mana yang salah. Akal akan lebih berkembang jika diberi ilmu pengetahuan kerana dengan ilmu pengetahuan perjalanan hidup dapat diurus dengan betul dan sentiasa berjalan di atas kebenaran mengikut petunjuk Allah Subhanahu Wata'ala.
Adapun salah satu cara untuk mendapatkan ilmu pengetahuan itu ialah dengan cara banyak membaca. Ini jelas sebagaimana ayat Al-Qur'an yang mula-mula sekali diturunkan kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam iaitu Surah Al 'Alaq ayat 1 - 5 yang tafsirannya:
“Bacalah wahai Muhammad dengan nama Tuhanmu yang menjadikan sekalian makhluk, Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku, bacalah dan Tuhanmu yang Maha Pemurah, yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.”
Oleh itu, wahai kaum Muslimin, jadikanlah budaya membaca satu amalan yang berterusan. Semua golongan tidak kira tua atau muda perlu membiasakan diri berdamping dengan bahan-bahan bacaan. Amalan membaca itu mestilah dipupuk sedari kecil lagi. Dalam hal ini, ibu bapa adalah berperanan untuk memberikan contoh terbaik kepada anak-anak mereka kerana ibu bapa yang suka membaca adalah sebagai pendorong kepada anak-anak mereka untuk suka membaca.
Walau bagaimanapun perlu juga diambil perhatian agar bahan-bahan bacaan itu adalah yang berfaedah dan boleh menambah pengetahuan, bukannya yang boleh merosakkan minda dan menyesatkan.
Salah satu cara lagi untuk mendapatkan ilmu dan maklumat yang berguna selain membaca buku-buku, majalah dan akhbar, ialah melalui internet. Pada masa kini, pengetahuan internet sangat meluas dikalangan remaja, di mana dari hasil kajian mendapati 90 peratus remaja dan anak muda menggunakan internet, manakala lebih 60 peratus kanak-kanak dan remaja berinteraksi dalam ‘chat room’ pada setiap hari.
Walaupun penggunaan internet sangat berfaedah dan berguna pada zaman ini, tetapi jika disalahgunakan akan mendatangkan kemudaratan. Jika sekiranya teknologi yang berfaedah ini digunakan dengan niat yang betul, maka ianya akan membawa manafaat dan kesejahteraan hidup, tetapi jika sebaliknya maka akan membawa kepada kehancuran dan malapetaka. Ini bertepatan sebagimana hadis Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang maksudnya:
“Dari Umar bin Al-Khattab Radiallahuanhu berkata: Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda: Sesungguhnya amalan itu bergantung pada niat dan setiap orang akan dibalas mengikut niatnya.” (Riwayat Al- Imam Al-Bukhari).
Sememangnya internet menyediakan banyak sumber maklumat berguna yang dapat dimanfaatkan, tetapi dalam masa yang sama ia juga mempunyai maklumat yang boleh menyesatkan dan merosakkan minda. Malah bermacam-macam jenayah boleh dilakukan melalui internet termasuklah jenayah seks terhadap kanak-kanak. Kita sebagai rakyat di negara ini terutama di kalangan ibu bapa, guru, penggobal industri ICT dan agensi perundangan adalah bertanggunjawab untuk menyediakan perlindungan dan sekuriti penggunaan internet di kalangan kanak-kanak.
Sebagai ibu bapa dan guru, adalah bertanggungjawab untuk menanamkan nilai moral di minda kanak-kanak agar melindungi keselamatan kanak-kanak tersebut dari menjadi mangsa internet. Mereka perlu dilatih agar menggunakan internet dengan membuat pilihan maklumat yang hanya berfaedah dan berguna. Di samping itu para ibu bapa hendaklah mengawasi dan memerhatikan anak-anak mereka yang menggunakan internet. Dengan adanya pengawasan tersebut, dapatlah kemudahan internet itu digunakan untuk mendapatkan maklumat yang berfaedah bagi menambah dan meningkatkan serta mengembangkan ilmu pengetahuan di kalangan anak-anak kita.
Maka bersempena Projek Bulan Membaca sepanjang bulan ini, dan sempena sambutan Hari Masyarakat Telekomunikasi dan Informasi Sedunia yang telah lalu, marilah kita meninggikan ilmu pengetahuan dan mendapatkan seberapa banyak maklumat yang berguna, nescaya kita akan beroleh kejayaan di dunia dan di akhirat. Di samping itu jangan lupa ilmu-ilmu yang bermanfaat itu hendaklah diajarkan dan diamalkan. Semoga diri, bangsa, agama dan negara kita akan maju jaya dan sentiasa dalam perlindungan Allah Subhanahu Wata'ala. Amin Ya Rabbal'alamin.
Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Ali 'Imran ayat 7 yang tafsirnya:
“Dan orang-orang yang tetap teguh serta mendalam pengetahuannya dalam ilmu-ilmu agama berkata: Kami beriman kepada-Nya, semuanya itu datangnya dari sisi Tuhan kami. Dan tiadalah yang mengambil pelajaran dan peringatan melainkan orang-orang yang berfikiran.”
No comments:
Post a Comment