SETIAP umat Islam di seluruh dunia pasti akan merindui dan merasai ketibaan bulan yang penuh dengan berkah iaitu bulan Ramadan. Bermula sejak dari bulan Rejab sehinggalah bulan Syaaban, ramai di kalangan umat Islam sudah pun mempersiapkan diri untuk menyambut kehadiran Ramadan Al-Mubarak. Ada yang memperbanyakkan amalan dengan berpuasa sunat di kedua-dua bulan tersebut, di samping amal ibadat yang lain untuk seterusnya menjadikan suatu dorongan buat diri sendiri untuk lebih memperbanyakkan amalan di bulan Ramadan.
Bulan Ramadan hadir dengan seribu satu pengertian. Ia hadir setiap tahun dengan pelbagai kelainan. Setiap bulan Ramadan, kenikmatannya pasti berbeza kerana Allah Subhanahu Wata'ala Maha Kaya dan anugerah-Nya tiada bandingannya. Namun terdapat sebilangan manusia mempunyai tanggapan dan persepsi serta perasaan yang berbeza apabila menjelang bulan Ramadan. Ada yang pertama sekali dalam fikiran mereka adalah 'lapar'. Ada juga apabila Ramadan tiba, apa yang paling difikirkan ialah 'penat' dan ada juga memikirkan 'bilakah Ramadan ini akan berakhir?' Golongan yang membuat fikiran ini tergolong dari orang-orang yang rugi dan tidak dapat keberkatan di bulan Ramadan.
Namun bagi golongan yang benar-benar mengerti nilai kehambaan diri mereka kepada Allah Subhanahu Wata'ala, apa yang mereka fikirkan ialah 'bagaimana untuk mencapai keredaan dan keberkatan Allah Subhanahu Wata'ala sempena berada di bulan Ramadan yang penuh dengan kerahmatan ini?' Inilah satu kunci kejayaan orang-orang yang akan mendapat kelebihan di bulan Ramadan.
Bulan Ramadan adalah bulan di mana nilai amal ibadah dilipatgandakan. Amalan puasa di siang harinya sangat berkait rapat dengan kesabaran kerana ganjaran bagi orang yang bersabar tiada terhitung banyaknya. Pahala amalannya dilipatgandakan sebanyak-banyaknya tidak seperti amalan-amalan lain.
Amalan puasa bukan sahaja suatu amalan yang tersendiri di bulan itu, tetapi juga diiringi dengan amalan Sembahyang Sunat Tarawih setiap malam di bulan tersebut. Kenikmatan lebih berganda jika ibadah puasa disertai dengan Sembahyang Sunat Tarawih di malamnya kerana gandingan tersebut, di samping mendapat ganjaran yang berlipat ganda, boleh membina sebuah kitaran kehidupan yang penuh dengan santapan kerohanian.
Bahkan, anak-anak juga mudah dididik untuk menunaikan Sembahyang Sunat Tarawih serta berpuasa di bulan Ramadan sekadar kemampuan mereka. Kanak-kanak akan sentiasa ingin mengikuti ayahnya pergi ke masjid untuk Sembahyang Sunat Tarawih kerana rakan-rakannya juga turut berada menunaikan Sembahyang Sunat Tarawih di masjid tersebut. Begitu juga dengan puasa di siang hari, di mana suasana masyarakat Islam yang sibuk berpuasa menyebabkan anak-anak juga rasa terpanggil untuk turut berpuasa bersama-sama seluruh umat Islam, kerana antara tabiat seorang kanak-kanak itu sendiri adalah suka mengikut suasana itu sendiri dan mudah meniru apa yang dilakukan oleh orang dewasa.
Jadi, amat malang juga bagi ibu bapa yang tidak mengambil peluang sempena di bulan Ramadan yang mulia ini, untuk mentarbiah anak-anak mereka ke arah melakukan ketaatan dan amal ibadah, sedangkan suasana ibadah di bulan Ramadan itu sendiri boleh membantu memberi motivasi kepada kanak-kanak dalam ketaatan.
Walau bagaimanapun, masih ramai dari kalangan umat Islam itu sendiri tidak mempunyai hubungan rapat dengan bulan Ramadan. Mereka tidak menghayati kedatangan bulan tersebut dengan penghayatan yang tinggi, padahal bulan Ramadan hadir sebagai peluang baginya untuk memperbaiki dirinya dan hubungannya dengan Tuhannya. Antara faktor-faktor yang boleh menguatkan ikatan hati kita dengan bulan Ramadan adalah niat kita, matlamat kita, tujuan kita, hajat kita yang kita inginkan sempena kehadiran bulan Ramadan.
Ada sebilangan orang bila datangnya Ramadan, hajatnya tidak lain melainkan untuk mendapatkan bulan Syawal, iaitu Hari Raya. Itulah orang yang paling malang kerana tiada makna Hari Raya tersebut baginya kerana Hari Raya adalah hari kemenangan bagi orang-orang yang berpuasa penuh dan melakukan amal ibadah di bulan Ramadan.
Di antara kemanisan dalam bulan Ramadan, seseorang hamba boleh menyatukan kehendaknya dengan kehendak Tuhannya. Di bulan Ramadan ini, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam banyak menjelaskan bahawasanya Allah Subhanahu Wata'ala ingin mengampuni dosa-dosa hamba-Nya. Oleh yang demikian, jika kita banyak bertaubat dan meminta ampun kepada-Nya, maka secara tidak langsung kehendak kita seiring dengan kehendak-Nya yang ingin mengampuni kita. Di situlah antara adab tertinggi kehambaan jika kita mengerti rahsia pengabdian diri kepada-Nya.
Banyakkanlah juga mengamalkan membaca Al-Qur'an dengan menggandakan bacaan berbanding dengan bulan-bulan biasa kerana bulan Ramadan adalah bulan peluang di mana suasana beribadah itu sangat menjadi penyokong kepada seseorang Muslim untuk terus melakukan ketaatan. Tidur seseorang yang berpuasa itu ibadah adalah ungkapan motivasi bagi seorang Muslim yang sering disalahertikan. Seharusnya yang kita fahami daripada ungkapan tersebut, tidur bagi seseorang yang berpuasa pun ibadah, apatah lagi melakukan ibadah itu sendiri. Maka ia adalah ibadah dalam ibadah. Ia suatu yang tidak dapat dicapai melainkan hanya di bulan Ramadan. Oleh yang demikian, banyakkanlah melakukan amalan ibadah terutamanya membaca Al-Qur'an kerana ianya merupakan antara sunnah Baginda Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam. Dengan banyak membaca Al-Qur'an di bulan Ramadan jugalah, ikatan hati seseorang dengan bulan Ramadan akan bertambah kuat kerana bulan Ramadan itu sendiri adalah bulan Al-Qur'an atau bulan turunnya Al-Qur'an. Maka eratkanlah lagi hubungan kita dengan bulan Ramadan melalui bacaan dan hafalan Al-Qur'an serta mendalami makna-maknanya. Barakah dan kunci kejayaan seseorang dalam bulan Ramadan Al-Mubarak ada pada kuatnya hubungannya dengan bulan Ramadan dalam rangka untuk meningkatkan hubungannya dengan Tuhannya.
No comments:
Post a Comment