Myspace Glitter Graphics, MySpace Graphics, Glitter GraphicsMyspace Glitter Graphics, MySpace Graphics, Glitter GraphicsMyspace Glitter Graphics, MySpace Graphics, Glitter GraphicsMyspace Glitter Graphics, MySpace Graphics, Glitter GraphicsMyspace Glitter Graphics, MySpace Graphics, Glitter GraphicsMyspace Glitter Graphics, MySpace Graphics, Glitter Graphics & Myspace Glitter Graphics, MySpace Graphics, Glitter GraphicsMyspace Glitter Graphics, MySpace Graphics, Glitter GraphicsMyspace Glitter Graphics, MySpace Graphics, Glitter GraphicsMyspace Glitter Graphics, MySpace Graphics, Glitter GraphicsMyspace Glitter Graphics, MySpace Graphics, Glitter GraphicsMyspace Glitter Graphics, MySpace Graphics, Glitter GraphicsMyspace Glitter Graphics, MySpace Graphics, Glitter GraphicsMyspace Glitter Graphics, MySpace Graphics, Glitter GraphicsMyspace Glitter Graphics, MySpace Graphics, Glitter Graphics

myspace

Wednesday, September 9, 2009

Kandungan Al-Qur'an mencakupi segala aspek kehidupan

MARILAH kita sama-sama meningkatkan keimanan dan ketaqwaan kita kepada Allah Subhanahu Wata’ala dengan sebenar-benar taqwa, iaitu istiqamah dalam mengerjakan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Dengan yang demikian, mudahmudahan kita akan menjadi umat yang terbaik dan mendapat keredaan Allah Subhanahu Wata’ala di dunia dan di akhirat.
Di bulan Ramadan yang penuh rahmat dan keberkatan ini, sama-samalah kita memanjatkan syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana memanjangkan umur dan memberi kesempatan kepada kita untuk melipatgandakan usaha dan amal ibadat bagi mendapatkan ganjaran pahala di bulan yang penuh mubarak ini.
Dalam bulan ini terdapat peristiwa agung berlaku dalam sejarah Islam iaitu turunnya kitab suci Al-Qur’an. Al-Qur’an diturunkan sebagai pegangan, pedoman dan petunjuk buat sekalian manusia agar hidup sejahtera, aman, tenteram dan selamat di dunia dan di Akhirat. Allah Subhanahu Wata’ala berfirman dalam Surah Al Baqarah ayat 185, tafsirnya :
“Bulan Ramadan yang padanya diturunkan AlQur’an, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan menjelaskan perbezaan di antara yang benar dan salah.”
Al-Qur’an diturunkan secara berperingkat-peringkat iaitu sedikit demi sedikit supaya ianya mudah dihafal, difahami dan dilaksanakan. Ia merupakan suatu rahmat dan kurniaan yang sangat besar kepada hamba-hamba-Nya. Tempoh Al-Qur’an itu diturunkan pula ialah selama lebih 22 tahun, bermula pada 17 Ramadan tahun 41 kelahiran Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam. Dalam tempoh tersebut, Al-Qur'an telah dihafal oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dan para sahabat serta dicatat oleh para penulisan Al-Qur’an. Adapun ayat Al-Qur’an yang mula-mula sekali diturunkan oleh Allah Subhanahu Wat’ala kepada Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam melalui perantaraan Malaikat Jibril Alaihissalam ialah lima ayat Al-Qur’an daripada Surah Al ‘Alaq dan kejadian itu berlaku semasa Baginda sedang menyendiri untuk beribadah di Gua Hira. Ayat-ayat tersebut ialah, tafsirnya :
“Bacalah wahai Muhammad dengan nama Tuhanmu yang menciptakan sekalian makhluk. Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku. Bacalah dan Tuhanmu yang Maha Pemurah. Yang mengajarkan manusia melalui pena dan tulisan. Ia mengajar manusia apa yang tidak diketahuinya.”
Sesungguhnya kandungan Al-Qur’an mencakupi dalam segala segi dan aspek kehidupan, sama ada hubungan manusia dengan Allah atau hubungan manusia dengan manusia seperti dalam hal peribadatan, sosial, ekonomi, budaya, politik dan sebagainya.
Al-Qur’an juga menjadi ubat, penawar dan penyembuh kepada berbagai jenis penyakit. Firman Allah Subhanahu Wata’ala dalam Surah Al Israa’ ayat 82, tafsirnya :
“Dan Kami turunkan dengan beransur-ansur daripada Al-Qur’an ayat suci yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang yang beriman kepada-Nya. Dan (sebaliknya) Al-Qur’an tidak menambahkan orangorang yang zalim disebabkan keingkaran mereka melainkan kerugian jua.”
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari, dari Abu Sa'id Al-Khudri Radiallahuanhu, katanya : Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam telah mengutus kami dalam sebuah pasukan kecil berjumlah 30 orang, kami singgah di sebuah perkampungan suatu kaum orang-orang Arab. Kami meminta supaya mereka menerima kami sebagai tetamu, tetapi mereka enggan. Tiba-tiba ketua mereka disengat kalajengking. Lalu mereka pun mendatangi kami dan bertanya : Adakah di dalam rombongan kamu ini seseorang yang pandai mengubat sengatan kalajengking? Abu Sa'id menjawab : Ya, saya. Akan tetapi saya tidak akan mengubatinya sehingga kamu bersetuju untuk memberi kami sesuatu. Maka mereka pun bersetuju dengan katanya : Kami akan memberi kamu 30 ekor kambing biri-biri. Lalu Abu Sa'id pun membaca (menjampi) ketua kaum itu dengan Surah Al Faatihah sebanyak tujuh kali.
Apabila para sahabat itu sudah menerima 30 ekor kambing yang dijanjikan, mereka teringat untuk bertanya kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam adakah perbuatan mereka itu betul atau tidak. Setelah semuanya diperincikan kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, maka Baginda pun bersabda : Apa yang aku tahu Al Faatihah itu memanglah jampi.
Sesungguhnya dengan membaca Al-Qur’an kita juga akan mendapat ganjaran pahala yang amat besar lebih-lebih lagi di bulan Ramadan ini. Sememangnya terdapat banyak surah-surah yang besar manfaatnya dan kelebihannya jika diamalkan, contohnya Surah Al Waaqi’ah, surah ini telah lazim diamalkan oleh umat Islam disebabkan fadilatnya yang amat besar. Sesiapa yang membaca surah ini pada tiap-tiap malam, akan terhindarlah ia dari kepapaan selama-lamanya.
Manakala bagi sesiapa yang mengamalkan membaca Surah As Sajdah pula akan mendapat pahala seperti sembahyang pada malam Lailatulqadar, dikurniakan nur (cahaya) pada dirinya ketika mati dan terlepas daripada seksa kubur.
Perlu diingat, walaupun beberapa surah dalam Al-Qur’an itu mempunyai kelebihan - kelebihannya yang tersendiri, janganlah kita hanya membaca surah-surah tersebut dan meninggalkan surah-surah yang lain, kerana setiap satu huruf daripada Al-Qur’an yang dibaca itu ada pahalanya, ini dijelaskan dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam At Tirmidzi dari Abdullah bin Masuud bahawa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam telah bersabda, maksudnya :
“Barang siapa membaca satu huruf daripada kitab Allah, maka baginya satu kebajikan dan setiap kebajikan sepuluh kali ganda. Aku tidak mengatakan Alif Lam Mim itu satu huruf tetapi Alif satu huruf, Lam satu huruf dan Mim satu huruf.”
Betapa banyaknya ganjaran pahala dan fadilat bagi mereka yang membaca Al-Qur’an, maka kita jadikanlah membaca AlQur’an itu sebagai amalan harian sepanjang tahun, bukannya amalan bermusim sekali setahun. Jangan hanya di bulan Ramadan saja kita rajin membaca Al-Qur’an, tetapi di bulan-bulan yang lain kita lali dengan kesibukan-kesibukan harian.
Sama-samalah kita berdoa mudah-mudahan kita menjadi umat Islam yang sentiasa mencintai AlQur’an, selalu membaca dan menghayati serta mengamalkannya dalam kehidupan seharian. Semoga kita tergolong di kalangan orang yang berjaya di dunia ini dan akan mendapat syafaat di Akhirat nanti. Amin Ya Rabbal’alamin.
Firman Allah Subhanahu Wata’ala dalam Surah Al Baqarah ayat 1 - 4, tafsirnya :
“Alif Lam Mim, kitab (Al-Qur’an) ini tidak ada keraguan padanya. Petunjuk bagi mereka yang bertaqwa. Iaitu mereka yang beriman kepada yang azab yang mendirikan sembahyang dan menafakahkan sebahagian rezeki yang kami anugerahkan kepada mereka. Dan mereka yang beriman yang beriman kepada kitab (Al-Qur’an) yang telah diturunkan kepadamu dan kitab-kitab yang telah diturunkan sebelumnya, serta mereka yakin akan adanya kehidupan akhirat.”

No comments:

guest number?