Sesungguhnya Allah Subhanahu Wata’ala telah mengurniakan kepada kita dengan nikmat yang tidak terhitung banyaknya, antaranya nikmat umur, nikmat rezeki, nikmat kesihatan, nikmat keamanan, nikmat pancaindera seperti penglihatan, pendengaran, berkata-kata dan sebagainya.
Sememangnya kita tidak akan mampu untuk menghitung segala nikmat yang telah diberikan oleh Allah Subhanahu Wata’ala kepada hamba-hamba-Nya. Ini menunjukkan betapa kerdilnya kita di sisi Allah Subhanahu Wata’ala, sebagaimana firman Allah Subhanahu Wata’ala dalam Surah An Nahl ayat 18, tafsirnya :
"Dan jika kamu menghitung nikmat Allah yang dilimpahkan kepada kamu tiadalah kamu akan dapat menghitungnya satu persatu, sesungguhnya Allah Maha Pengampun Lagi Amat Mengasihi".
Memandangkan betapa luasnya pemberian nikmat Allah Subhanahu Wata’ala kepada sekalian makhluk-Nya, maka apakah kita masih belum mahu bersyukur? Tidakkah kita tahu bahwasanya Allah Subhanahu Wata’ala telah berjanji di dalam Al-Qur’an, barangsiapa yang bersyukur kepada Allah Subhanahu Wata’ala, Allah Subhanahu Wata’ala akan tambahi lagi nikmat-Nya dan barang siapa yang kufur nikmat, maka Allah akan mengazab-Nya.
Oleh yang demikian, janganlah kita menjadi orang yang kufur nikmat sepertimana penduduk Negeri Saba’ yang telah diceritakan di dalam Al-Qur’an, dalam Surah Saba’ ayat 15 hingga 17 yang tafsirnya :
"Demi sesungguhnya, adalah bagi penduduk Negeri Saba’ satu tanda yang membuktikan kemurahan Allah yang terdapat di tempat tinggal mereka, iaitu dua kumpulan kebun yang luas lagi subur yang terletak di sebelah kanan dan sebelah kiri Qaryah mereka. Lalu dikatakan kepada mereka : Makanlah dari rezeki pemberian Tuhan kamu dan bersyukurlah kepada-Nya. Negeri kamu ini adalah negeri yang baik, aman dan makmur dan Tuhan kamu adalah Tuhan Yang Maha Pengampun. Maka mereka berpaling ingkar, lalu kami hantarkan kepada mereka banjir yang membinasakan dan kami gantikan dua kumpulan kebun mereka yang subur itu dengan dua kumpulan kebun yang berisi dengan pohon-pohon yang pahit buahnya dan pohon-pohon yang jarang berbuah, serta sedikit pohon-pohon Bidara. Demikianlah kami membalas mereka disebabkan kekufuran mereka dan sebenarnya kami tidak menimpakan balasan yang demikian melainkan kepada orang-orang yang sangat kufur".
Pada kebiasaannya, apabila seseorang memberikan kepada kita sesuatu pemberian yang berupa hadiah, wang ringgit atau sebagainya, kita akan memuji orang itu dan mengatakannya orang baik, orang dermawan dan sebagainya. Tetapi kita selalu lupa untuk memuji dan bersyukur kepada Allah Subhanahu Wata’ala yang telah memberikan nikmat yang begitu banyak kepada kita pada setiap saat dan ketika, baik di waktu senang mahupun susah. Adapun cara untuk kita mensyukuri nikmat Allah itu ada berbagai cara, contohnya :
Pertama : Membaca doa atau memuji Allah Subhanahu Wata’ala dalam setiap perbuatan dan tindakan, seperti apabila hendak tidur dan bangun dari tidur, sebelum dan selepas makan, menaiki kenderaan dan sebagainya.
Kedua : Disunatkan melakukan Sujud Syukur apabila mendapat kejayaan, kemenangan dan seumpamanya.
Ketiga : Melakukan segala perintah-Nya dengan ikhlas dan menjauhi segala larangan-Nya dengan sabar.
Keempat : Memanfatkan pemberian Allah Subhanahu Wata’ala dengan cara yang betul seperti menggunakan lidah untuk berzikir kepada Allah Subhanahu Wata’ala.
Kelima : Menghulurkan bantuan kepada yang memerlukan.
Keenam : Sentiasa memohon kepada Allah Subhanahu Wata’ala agar menjadi hamba yang sentiasa bersukur, sebagaimana doa yang diajarkan oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, maksudnya :
"Ya Allah! Bantulah kami supaya dapat selalu menyebut-Mu (berzikir mengingati-Mu), bersyukur dan beribadat yang sebaik-baiknya kepada-Mu".
Sebagai orang Islam, kita hendaklah sentiasa menanamkan dalam jiwa dan sanubari sifat tawaduk dan rendah diri dan sentiasa bersyukur di atas segala nikmat yang Allah kurniakan kepada kita. Akhirnya, marilah kita sama-sama berdoa kepada Allah Subhanahu Wata’ala agar menjadi hamba-Nya yang sentiasa bersyukur dan mendapat keredaan dari Allah Subhanahu Wata’ala. Amin Ya Rabbal’alamin.
Firman Allah Subhanahu Wata’ala dalam Surah An Nahl ayat 78, tafsirnya :
"Dan Allah mengeluarkan kamu dari perut ibu kamu dengan keadaan tidak mengetahui sesuatu pun dan ia mengurniakan kepada kamu pendengaran dan penglihatan serta hati (akal fikiran) supaya kamu bersyukur".
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment