Agama Islam adalah agama yang cukup lengkap yang mementingkan kebahagiaan umatnya di dunia dan di akhirat. Dalam hal ini agama Islam menyeru umatnya agar sentiasa mempertingkatkan usaha dalam berbuat amal kebajikan dan ibadat termasuklah dalam kita mencari nafkah seharian iaitu bekerja untuk menyara kehidupan. Firman Allah Subhanahu Wata’ala dalam Surah Al Qashash ayat 77, tafsirnya :
“Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebaikan Hari Akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu dari dunia).”
Agama Islam memandang bahawa mencari rezeki untuk hidup adalah satu tuntutan atau kewajipan ke atas manusia bagi memenuhi keperluan kehidupan seharian seperti makanan, pakaian, tempat tinggal dan keperluan lain, sama ada untuk diri sendiri mahupun orang yang berada di bawah tanggungannya. Namun apa yang penting, rezeki yang diperolehi itu hendaklah dari sumber yang baik dan halal, serta diberkati oleh Allah Subhanahu Wata’ala.
Akan tetapi di negara kita masih terdapat beribu orang pencari kerja yang belum mempunyai pekerjaan. Antara faktor yang menyebabkan meningkatnya pengangguran di negara ini adalah kerana terdapat di kalangan masyarakat kita lebih cenderung untuk berkhidmat dengan pihak kerajaan berbanding pihak swasta.
Dalam suasana dunia sekarang ini, kita tidak boleh hanya berharap untuk berkhidmat dengan kerajaan sahaja. Sikap memilih pekerjaan sudah tidak sesuai lai pada zaman ini. Memang tidak dinafikan, ada juga segelintir pekerja tempatan dan pencari kerja tempatan yang mahu bekerja di sektor swasta kerana suka kepada persekitaran kerja yang mencabar dan dinamik. Namun desakan dan pengaruh daripada keluarga terutamanya ibu bapa dan rakan sebaya menjadikan pencari kerja lebih cenderung untuk memilih pekerjaan di sektor kerajaan.
Selain itu, pengangguran juga disebabkan tiadanya desakan daripada keluarga untuk mencari pekerjaan, memandangkan keluarga masih mampu untuk menyara kehidupan pencari kerja sementara menunggu untuk mendapat pekerjaan di sektor awam. Terdapat juga segelintir ibu bapa yang masuk campur terhadap urusan kerja anak mereka yang berkhidmat di sektor swasta, yang kadang-kadang boleh menyebabkan majikan mengambil keputusan untuk memberhentikan pekerja tempatan ini. Terdapat juga pekerja tempatan yang tertekan dengan suasana pekerjaan yang mempunyai bilangan pekerja asing yang ramai. Tahap motivasi pekerja tempatan juga akan berkurangan lebih-lebih lagi para majikan lebih mengutamakan pekerja asing daripada pekerja tempatan. Ini kerana sebahagian anak tempatan yang bekerja di sektor swasta mempunyai sikap yang tidak disukai oleh majikan seperti tidak komited, tidak bertanggungjawab dan tidak berdisiplin dalam melaksanakan tugas mereka.
Ini berbeza dengan pekerja asing yang komited dan dedikasi dalam melakukan tugas mereka memandangkan ada di kalangan mereka tiada mempunyai komitmen dengan keluarga semasa bekerja di negara ini. Pekerja asing juga sanggup untuk bekerja lebih masa bagi mendapatkan pendapatan lebih berbanding sesetengah pekerja tempatan yang mempunyai banyak kerenah dan rungutan jika diminta untuk bekerja lebih masa. Oleh sebab itulah para majikan di sektor swasta lebih gemar pekerja asing.
Kita perlu faham matlamat sektor swasta adalah untuk menambah lebih banyak keuntungan. Kerana itulah majikan di sektor swasta menerapkan etika kerja yang tinggi dan disiplin pekerjaan yang ketat ke atas pekerja mereka. Ini bermakna kesemua pekerja adalah terikat dengan peraturan yang dibuat oleh majikan mereka. Peraturan ini dibuat adalah untuk meningkatkan lagi produktiviti pekerja yang sedia ada, memandangkan syarikat atau organisasi di sektor swasta bersaing dalam suasana perniagaan yang kompetitif.
Tetapi malangnya ada di kalangan pekerja yang tidak menyukai akan peraturan tersebut seperti disiplin dan ketepatan masa bekerja kerana bagi mereka susah untuk keluarga pejabat jika ada urusan keluarga. Keadaan ini juga menambahkan lagi persepsi negatif anak tempatan terhadap pekerjaan di sektor swasta.
Oleh itu, wahai kaum Muslimin, hendaklah kita mengubah sikap dan pe
mikiran ke arah yang lebih positif dan tidak memilih pekerjaan sama ada di sektor awam atau di sektor swasta. Manakala bagi mereka yang sudah bekerja hendaklah melaksanakan setiap pekerjaan itu dengan niat yang ikhlas kerana Allah Subhanahu Wata’ala, kerana dari niat yang ikhlas akan menimbulkan sifat jujur, amanah, berdisiplin, cekap, taat dan boleh dipercayai yang akhirnya akan melahirkan corak pekerjaan yang sempurna dan berkualiti. Firman Allah Subhanahu Wata’ala dalam Surah Al Qashash ayat 26, tafsirnya :
“Sebaik-baik yang engkau ambil bekerja ialah orang yang kuat (berkemampuan) dan amanah (dipercayai).”
Kita perlu menyedari bahawa kesan dari pengangguran jika tidak ditangani boleh menjejaskan pertumbuhan ekonomi, menurunkan taraf hidup, menambahkan kadar kemiskinan, menyebabkan ketidakstabilan keluarga, akan meningkatkan kejadian antisosial dan sebagainya.
Dalam hal ini, pihak kerajaan telah berusaha untuk mengurangkan kadar pengangguran di negara ini. Ini jelas sebagaimana titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena Hari Keputeraan baginda pada 15 Julai 2008, antara titah baginda : “Untuk itu, kita mestilah mengemaskinikan segala perancangan dan pelaksanaan sumber tenaga manusia serta dasar-dasar yang berkaitan dengannya. Sebagai contoh, kerajaan beta telah menyediakan peruntukan sebanyak hampir 28 juta ringgit dari Dana Sumber Tenaga Manusia Untuk Skim Latihan Bagi Program Khas Lepasan Sekolah. Ini diharapkan dapat membantu mengurangkan pergantungan sektor swasta kepada tenaga luar negeri dan pada waktu yang sama, dapat mengurangkan juga kadar pengangguran dalam negara.”
Begitu juga dengan Karnival Kerjaya 2009 yang sedang diadakan pada masa ini, diharap akan dapat mengatasi dan mengurangkan pengangguran di negara kita.
Apa yang penting, setelah kita mendapat pekerjaan, hendaklah kita berusaha dan beriltizam untuk bekerja dengan sebaik-baiknya sebagaimana yang dikehendaki oleh agama Islam. Tugas atau kuasa yang diamanahkan hendaklah dilaksanakan dengan sebaik-baiknya dan jangan pula diabaikan dan disalahgunakan.
Sama-samalah kita berdoa semoga kita menjadi pekerja yang jujur, amanah dan dimurahkan rezeki serta dijauhkan dari sifat tamak dan suka meminta-minta. Semoga rezeki yang kita perolehi mendapat keberkatan dari Allah Subhanahu Wata’ala.
Sebagaimana yang kita maklum, beberapa buah negara luar pada masa ini telah dilanda dengan satu wabak penyakit iaitu Selesema Khinzir. Dalam hal ini Kementerian Kesihatan telah mengambil langkah berjaga-jaga bagi memantau wabak penyakit tersebut. Kita dinasihatkan agar mengambil langkah keselamatan kesihatan lebih awal dengan mengunjungi klinik terdekat untuk mendapatkan rawatan dan pemeriksaan apabila mengalami gejala selesema selepas mengunjungi tempat-tempat yang sudah dikenal pasti. Langkah keselamatan ini bertujuan mengesan penyakit tersebut lebih awal sebelum merebak luas bagi membolehkan tindakan kuarantin dijalankan secepat mungkin.
Kementerian Kesihatan juga menasihatkan orang ramai supaya menangguhkan perjalanan ke negara yang terjejas oleh wabak itu, tetapi jika perlu ke negara-negara berkenaan, mereka mesti mengambil langkah-langkah berwaspada seperti mengelak dari pergi ke tempat-tempat yang sesak, mengelak daripada mendampingi orang ramai disyaki dijangkiti demam selesema dan mengamalkan tabiat kebersihan diri.
Di samping itu dalam usaha untuk menghindarkan rakyat dan penduduk serta Negara Brunei Darussalam daripada segala bala dan dari dijangkiti oleh wabak penyakit tersebut, kita memohon perlindungan dari Allah Subhanahu Wata’ala dengan mengadakan Sembahyang Sunat Hajat selepas Sembahyang Fardu Maghrib dan sebelum menunaikan Sembahyang Fardu Jumaat dan membaca doa khas di masjid-masjid, surau-surau dan balai ibadat seluruh negara mulai hari Khamis, 30 April 2009, bagi tempoh selama sebulan.
Mudah-mudahan dengan demikian, Allah Subhanahu Wata’ala memberikan perlindungan kepada diri kita, ahli keluarga kita, negara dan umat Islam seluruhnya dari segala wabak penyakit dan bala bencana. Amin Ya Rabbal- ’alamin.
Firman Allah Subhanahu Wata’ala dalam Surah Az-Zumar ayat 8, tafsirnya :
“Dan apabila manusia disentuh oleh sesuatu bahaya, ia segera berdoa kepada Tuhannya dengan keadaan rujuk kembali bertaubat kepada-Nya.”
No comments:
Post a Comment