Myspace Glitter Graphics, MySpace Graphics, Glitter GraphicsMyspace Glitter Graphics, MySpace Graphics, Glitter GraphicsMyspace Glitter Graphics, MySpace Graphics, Glitter GraphicsMyspace Glitter Graphics, MySpace Graphics, Glitter GraphicsMyspace Glitter Graphics, MySpace Graphics, Glitter GraphicsMyspace Glitter Graphics, MySpace Graphics, Glitter Graphics & Myspace Glitter Graphics, MySpace Graphics, Glitter GraphicsMyspace Glitter Graphics, MySpace Graphics, Glitter GraphicsMyspace Glitter Graphics, MySpace Graphics, Glitter GraphicsMyspace Glitter Graphics, MySpace Graphics, Glitter GraphicsMyspace Glitter Graphics, MySpace Graphics, Glitter GraphicsMyspace Glitter Graphics, MySpace Graphics, Glitter GraphicsMyspace Glitter Graphics, MySpace Graphics, Glitter GraphicsMyspace Glitter Graphics, MySpace Graphics, Glitter GraphicsMyspace Glitter Graphics, MySpace Graphics, Glitter Graphics

myspace

Monday, May 11, 2009

Musibah yang menimpa merupakan ujian dan peringatan kepada manusia


MARILAH kita meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah Subhanahu Wata’ala dengan penuh keyakinan dan keikhlasan dengan melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang bertaqwa dan beriman serta selamat di dunia dan selamat di akhirat.


Allah Subhanahu Wata’ala telah mengingatkan di dalam Al-Qur’an bahawasanya kehidupan dunia ini hanyalah permainan dan hiburan, sebagaimana firman-Nya dalam Surah Al An’aam ayat 32, tafsirnya :
“Dan tidak dinamakan kehidupan dunia melainkan permainan yang sia-sia dan hiburan yang melalaikan.”
Berdasarkan ayat tadi bahawa kesenangan-kesenangan dunia ini hanya sebentar dan tidak kekal, janganlah kita terpedaya dengan kesenangan-kesenangan dunia serta lalai dari memperhatikan urusan akhirat.

Sebenarnya kehidupan di dunia inilah yang banyak menyebabkan manusia lalai dan lupa diri dari mengingati Allah Subhanahu Wata’ala. Kerana sifat manusia itulah Allah Subhanahu Wata’ala telah mengutus Nabi dan Rasul bagi memberikan peringatan supaya mereka bertaubat dan beramal salih. Tetapi masih juga ada di antara manusia yang ingkar dan berlaku sombong di muka bumi, tidak mahu mengikut perintah Allah Subhanahu Wata’ala, maka kerana itu Allah Subhanahu Wata’ala menurunkan bala bencana sebagai cubaan dan dugaan agar manusia tidak berterusan lalai dan akan insaf terhadap apa yang mereka lakukan. Firman Allah Subhanahu Wata’ala dalam Surah Ar Ruum ayat 41, tafsirnya :
“Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia : Timbulnya yang demikian kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan supaya mereka kembali insaf dan bertaubat.”


Sesungguhnya segala musibah yang ditimpakan ke atas manusia adalah merupakan ujian dan peringatan kepada manusia. Oleh itu kita hendaklah bersabar dan reda terhadap qadak dan qadar Allah Subhanahu Wata’ala dan anggaplah ujian tersebut sebagai cubaan untuk memantapkan lagi keimanan dan ketaqwaan kepada Allah Subhanahu Wata’ala.


Adapun ujian atau bala yang ditimpakan Allah Subhanahu Wata’ala ke atas manusia itu ada bermacam-macam keadaan, di antaranya bencana alam seperti kemarau, banjir, gempa bumi, tanah susur dan sebagainya, ataupun ianya dari perbuatan manusia itu sendiri seperti kegawatan ekonomi, kebakaran dan sebagainya, ataupun wabak penyakit seperti AIDS, SARS, Selesema Burung dan sebagainya.


Kini kita dikejutkan pula oleh satu wabak penyakit iaitu Selesema Khinzir. Wabak Selesema Khinzir ini sedang melanda beberapa buah negara luar. Penyakit ini adalah sejenis penyakit yang menjejaskan sistem pernafasan yang lazimnya menjangkiti haiwan khususnya khinzir disebabkan oleh Virus Influenza jenis A. Pada kebiasaannya wabak haiwan ini tidak menjangkiti manusia, tetapi satu jangkitan luar biasa melibatkan penyibaran penyakit ini daripada manusia kepada manusia telah disahkan oleh Pusat Kawalan Penyakit Amerika Syarikat dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Selesema Khinzir pada manusia boleh menjejaskan semua peringkat umur, manakala tanda-tanda penyakit ini serupa dengan demam selesema biasa seperti demam panas, sakit tekak, batuk selesema dan sakit pernafasan. Selesema terbaru ini dikatakan lebih mudarat berbanding selesema sebelumnya kerana ia menggabungkan virus burung, manusia dan khinzir dan setakat ini tidak terdapat vaksin bagi selesema ini.


Memandangkan penyakit ini amat berbahaya dan boleh membawa maut, maka pihak yang bertanggungjawab telah mengambil tindakan dan berusaha bagi mengelakkan penyakit tersebut merebak ke negara ini. Di antara langkah-langkah yang telah diusahakan ialah membuat pemantauan di pusat-pusat kesihatan, hospital, pos kawalan sempadan dan lapangan terbang antarabangsa. Kementerian Kesihatan terus meningkatkan langkah-langkah pemantauan terutama ke atas pengunjung yang balik ke negara ini dari tempat terjejas seperti Mexico, Amerika Syarikat dan negara-negara lain yang terjejas. Ini semua bagi mempastikan penduduk di negara ini tidak dijangkiti oleh wabak Selesema Khinzir.


Alhamdulillah, sebagaimana yang telah dijelaskan oleh Kementerian Kesihatan, sehingga kini belum ada laporan jangkitan Selesema Khinzir di kalangan manusia di negara ini atau simptom penyakit berkenaan. Walau bagaimanapun, kita perlu berhati-hati dan berawas-awas sebelum penyakit ini merebak ke negara ini. Kita dinasihatkan agar mengambil langkah keselamatan kesihatan lebih awal dengan mengunjungi klinik terdekat untuk mendapatkan rawatan dan pemeriksaan apabila mengalami gejala selesema selepas mengunjungi tempat-tempat yang sudah dikenal pasti. Langkah keselamatan ini bertujuan mengesan penyakit tersebut lebih awal sebelum merebak luas bagi membolehkan tindakan kuarantin dijalankan secepat mungkin.


Kementerian Kesihatan juga menasihatkan orang ramai supaya menagguhkan perjalanan ke negara yang terjejas oleh wabak itu, tetapi jika perlu ke negara-negara berkenaan, mereka mesti mengambil langkah-langkah berwaspada seperti mengelak dari pergi ke tempat-tempat yang sesak, mengelak daripada mendampingi orang yang disyaki dijangkiti demam selesema dan kita juga hendaklah mengamalkan tabiat menjaga kebersihan diri.


Sememangnya perkara menjaga kebersihan ini telah dititikberatkan oleh ajaran agama Islam sebagaimana firman Allah Subhanahu Wata’ala dalam Surah At Taubah ayat 108, tafsirnya :
“Dan Allah Mengasihi orang-orang yang membersihkan diri mereka (zahir dan batin).”
Dan sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, maksudnya :
“Dari Abi Malik Al-Asyharie’ berkata : Telah bersabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam : Kebersihan itu sebahagian dari iman.” (Riwayat Ai-Imam Muslim).
Dalam kita menghadapi segala ujian atau bala dari Allah, kita perlulah bersabar dan kembali kepada Allah Subhanahu Wata’ala dengan memohon perlindungan daripadanya, begitulah juga dalam keadaan kita menghadapi wabak Selesema Khinzir ini, kita berusaha memohon perlindungan dari Allah Subhanahu Wata’ala dengan mengadakan Sembahyang Sunat Hajat selepas Sembahyang Fardu Maghrib dan sebelum menunaikan Sembahyang Fardu Jumaat dan membaca doa khas serta membaca Doa Qunut Nazilah semasa Sembahyang Fardu Jumaat di masjid-masjid, surau-surau dan balai ibadat seluruh negara dengan niat untuk menghindarkan rakyat, penduduk dan Negara Brunei Darussalam daripada segala bala dan dijangkiti oleh wabak penyakit tersebut.


Kita bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala, kerana dengan limpah rahmat-Nya jua rakyat di negara ini telah mencapai tahap kesihatan yang baik, semua ini adalah berkat doa dan usaha semua pihak terutamanya kepimpinan dan komitmen yang tinggi Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam. Kita sepatutnya berterima kasih kepada pihak kerajaan yang telah menyediakan kemudahan perubatan di negara ini dan juga kepada para doktor serta jururawat yang sentiasa sedia berkhidmat memberi rawatan kepada mereka yang memerlukan. Sesungguhnya tugas mereka ini sangat murni dan dipandang mulia. Maka bersempena dengan Hari Jururawat dan Bidan Antarabangsa pada 21 Mei ini, kita sebagai masyarakat yang memerlukan dan menggunakan khidmat mereka, hendaklah sentiasa memberi sokongan dan dukungan terhadap setiap khidmat dan nasihat yang mereka berikan.


Akhirnya, sama-samalah kita berdoa dan memohon hidayah serta rahmat dari Allah Subhanahu Wata’ala semoga diri kita, ahli keluarga kita, negara dan umat Islam seluruhnya mendapat perlindungan Allah Subhanahu Wata’ala serta selamat dari segala wabak penyakit dan bala bencana. Amin Ya Rabbal’alamin.


Firman Allah Subhanahu Wata’ala dalam Surah Al Baqarah ayat 214, tafsirnya :
“Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk Syurga, pada hal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan harta benda) dan serangan penyakit serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada besertanya, bilakah (datangnya) pertolongan Allah? Ketahuilah, sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada agama Allah).”

No comments:

guest number?