Allah Subhanahu Wata’ala berfirman dalam Surah Ibrahim ayat 7, tafsirnya :
“Dan ingatlah tatkala Tuhan kamu memberitahu, demi sesungguhnya jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmat-Ku kepada kamu dan demi sesungguhnya jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azab-Ku amatlah keras.”
Berdasarkan ayat itu tadi jelas menunjukkan betapa pentingnya kita sentiasa bersyukur dengan apa yang dikurniakan oleh Allah Subhanahu Wat’ala kepada kita. Jika kita mensyukuri nikmat, Allah Subhanahu Wata’ala telah menjanjikan akan menambah nikmat-Nya kepada kita, tetapi jika kufur dan ingkar, Allah akan membalasnya dengan kesusahan dan azab seksa.
Adapun di antara nikmat yang telah dianugerahkan kepada negara kita yang patut kita syukuri ialah hasil bumi minyak dan gas. Hasil bumi ini adalah nikmat yang tidak boleh kita abaikan dan hendaklah kita jaga dan nikmati dengan cara yang berpatutan dan sewajarnya. Kita sebagai penduduk negara ini mestilah menyedari bahawa nikmat Allah Subhanahu Wata’ala yang kita nikmati sekarang boleh sahaja kita nikmati berterusan atau sebaliknya, jika Allah Subhanahu Wata’ala berkehendak, ini sebagaimana firman Allah Subhanahu Wata’ala dalam Surah Saba’ ayat 16, tafsirnya :
“Maka mereka berpaling ingkar, lalu Kami hantarkan kepada mereka banjir yang membinasakan dan Kami gantikan dua kumpulan kebun mereka yang subur itu dengan dua kumpulan kebun yang berisi dengan pohon-pohon yang pahit buahnya dan pohon-pohon yang jarang berbuah, serta sedikit pohon-pohon bidara.”
Ayat ini mengisahkan tentang Negeri Saba’ yang sekarang dikenali dengan Negeri Yaman, dahulunya negeri ini subur tanahnya kerana mereka membina pembenteng air yang dapat dialirkan ke kebun-kebun dan sawah-sawah sepanjang tahun. Oleh sebab itu penduduk negeri tersebut menjadi kaya raya, mempunyai kebun di kiri dan kanan. Tetapi disebabkan mereka tidak bersyukur kepada Allah Subhanahu Wata’ala, lalu Allah Subhanahu Wata’ala menurunkan hujan lebat menyebabkan benting air runtuh dan berlakulah banjir besar sehingga memusnahkan kebun-kebun dan rumah mereka. Tidak ada lagi kebun-kebun mereka selain dari pohon-pohon kayu yang tidak berbuah atau ada buahnya tetapi pahit rasanya.
Oleh itu sepatutnya kita menjadikan kisah ini sebagai pengajaran dan iktibar yang dapat menginsafkan kita semua. Maka hendaklah kita mensyukuri nikmat yang telah dianugerahkan Allah Subhanahu Wata’ala kepada kita supaya terhindar daripada bala sebagaimana yang telah ditimpakan kepada kaum Saba’.
Adapun di antara cara kita mensyukuri nikmat, khususnya nikmat minyak dan gas ialah dengan menggunakan nikmat tersebut secara bijak dengan menjimatkan penggunaannya, bukannya melakukan pembaziran. Adalah menjadi kewajipan kita bersama, sama ada pihak kerajaan, swasta mahupun persendirian untuk sama-sama menjimatkan penggunaan tenaga agar ia juga boleh terus dinikmati hingga ke generasi akan datang. Penjimatan tenaga boleh dilakukan melalui beberapa cara di antaranya :
Pertama : Melalui pendidikan yang bermula dari rumah atau sekolah dengan melatih anak-anak berjimat cermat dalam penggunaan tenaga dengan cara menutup suis alat-alat elektrik seperti lampu, alat peghawa dingin, kipas angin, televisyen, komputer dan sebagainya setelah menggunakannya.
Kedua : Melalui penjimatan penggunaan minyak kenderaan dengan membuat perancangan terlebih dahulu ke mana hendak dituju.
Ketiga : Mendidik diri dan keluarga hidup dalam keadaan sederhana meskipun tergolong sebagai orang yang berkemampuan.
Agama Islam melarang umatnya melakukan pembaziran kerana ia merupakan perbuatan keji dan perbuatan syaitan. Sesungguhnya syaitan itu amat suka kepada orang-orang yang boros dan membazir.
Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda dalam sebuah hadis Baginda, maksudnya :
“Dari Al-Mughirah bin Syuq’bah, dari Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam Baginda bersabda : Ditegah ke atas kamu tiga perkara iaitu banyak cakap, banyak tanya dan membazir harta.” (Riwayat Al-Imam Muslim).
Adalah menjadi tanggungjawab setiap lapisan masyarakat di negara ini supaya bekerjasama ke arah penjimatan tenaga. Ini bertepatan sebagaimana tema Hari Tenaga yang akan diadakan pada 23 Mei ini iaitu 'Jimatkan Tenaga, Tanggungjawab Kitani'.
Oleh yang demikian, sama-samalah kita menyemai dan membudayakan diri kita ke arah kecekapan dan penjimatan, semoga dengan berbuat demikian, kita akan terus menikmati kemakmuran dan keselesaan dengan rahmat Allah Subhanahu Wata’ala. Amin Ya Rabbal’alamin.
Firman Allah Subhanahu Wata’ala dalam Surah Al Israa’ ayat 26 - 27, tafsirnya : “Dan berikanlah kepada kerabatmu dan orang miskin serta orang musafir akan haknya masing-masing dan janganlah engkau belanjakan hartamu dengan boros yang melampau-lampau. Sesungguhnya orang-orang yang boros itu adalah saudara-saudara syaitan, sedang syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya.”
No comments:
Post a Comment