Wednesday, December 23, 2009
1431
Btw lama udah rasanya nda me updated blog ani.
So Disini kami ucapkan 'Selamat Tahun Baru Hijrah 1431'.
Monday, October 19, 2009
Manfaatkan agihan wang zakat dengan bijaksana
Sesungguhnya Allah Subhanahu Wata’ala menjadikan manusia sama sahaja dari segi bentuk dan rupa, namun kedudukan dan taraf kehidupan seseorang di kalangan masyarakat tidak sama. Terdapat golongan yang senang dan susah, kaya dan miskin. Justeru itu zakat adalah salah satu cara bantuan yang tepat bagi golongan yang senang dan kaya ini menyalurkannya kepada fakir dan miskin. Zakat merupakan salah satu Rukun Islam yang wajib kita tunaikan. Firman Allah Subhanahu Wata’ala dalam Surah An Nisaa’ ayat 77, tafsir-Nya :
“Dan dirikanlah sembahyang serta keluarkanlah zakat.”
Pengertian zakat ialah nama bagi harta yang tertentu, diambil daripada harta yang tertentu, menurut syarat-syarat yang tertentu dan diberikan kepada orang-orang yang berhak menerimanya. Sememangnya kewajipan zakat itu mempunyai banyak rahsia, antaranya ialah sebagai salah satu cara membersihkan jiwa dari sifat-sifat bakhil dan kedekut dan juga sebagai salah satu tanda kita mensyukuri nikmat kurniaan Allah Subhanahu Wata’ala. Menurut pandangan dan kata-kata dari orang yang enggan mengeluarkan zakat bahawa mengeluarkan zakat itu merugikan mereka. Sebenarnya orang yang berzakat akan mendapat keredaan dan rahmat dari Allah Subhanahu Wata’ala dan harta yang dizakat itu tidak akan berkurangan tetapi bertambah dan lebih beruntung lagi, mereka telah dijanjikan oleh Allah Subhanahu Wata’ala dengan ganjaran Syurga Firdaus di Akhirat kelak.
Al-Qur’an telah menegaskan bahawa hanya lapan golongan yang berhak untuk menerima zakat, sebagaimana disebutkan dalam Surah At Taubah ayat 60, tafsir-Nya :
“Dan sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orangorang fakir dan orangorang miskin dan amil- amil yang mengurusnya dan orang-orang mualaf yang dijinakkan hatinya dan untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya dan orangorang yang berhutang dan untuk dibelanjakan pada jalan Allah dan orangorang musafir yang keputusan dalam perjalanan, ketetapan hukum yang demikian itu ialah sebagai satu ketetapan yang datangnya dari Allah dan ingatlah Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.”
Di antara lapan golongan tersebut, golongan fakir dan miskin merupakan golongan yang mula-mula sekali disebutkan. Menurut takrifnya bahawa golongan fakir ialah orang Islam yang papa, tidak mempunyai apa-apa pencarian atau harta, atau orang yang tidak boleh mengadakan setengah daripada keperluan untuk nafkahnya dan nafkah orang yang wajib ditanggungnya. Sebagai contoh seorang yang memerlukan $10 sehari bagi perbelanjaan sehariannya namun mereka hanya mampu mengadakan kurang daripada $5 sahaja.
Sementara takrif miskin pula ialah orang Islam yang sungguhpun mempunyai sedikit harta atau apa-apa pencarian tetapi cuma dapat mengadakan lebih daripada separuh keperluan nafkahnya dan nafkah orang yang wajib ditanggungnya. Sebagai contoh seorang yang memerlukan $10 sehari bagi perbelanjaan seharian tetapi mereka hanya mampu mengadakan $5 - $9 sahaja.
Seorang yang mengaku fakir atau miskin tetapi ada orang yang dapat menanggung nafkahnya atau perbelanjaan hariannya atau lain-lain keperluan yang mustahak bagi dirinya, maka orang ini tidak lagi dinamakan fakir atau miskin dengan sebab ada orang menanggung nafkahnya atau keperluannya, sebagai contoh seorang bapa, ibu, datuk atau nenek yang fakir atau miskin yang nafkahnya ditanggung oleh anaknya atau cucunya atau mana-mana yang wajib menanggung nafkahnya secara cukup menurut keadaannya, maka bapa, ibu, datuk atau nenek itu tidak lagi ditakrifkan sebagai fakir atau miskin.
Sebagaimana yang kita ketahui bahawa golongan fakir atau miskin hidup dalam serba kekurangan, maka dalam hal ini sudah setentunya pemberian zakat kepada golongan tersebut akan dapat membantu meringankan beban kesusahan yang ditanggung oleh mereka. Inilah di antara hikmah diwajibkan zakat, kerana ia dapat mewujudkan kehidupan yang harmoni di kalangan umat Islam, merapatkan silaturahim di antara yang kaya dengan yang miskin, dapat menghindarkan kebencian, kedengkian dan permusuhan bahkan menimbulkan perasaan kasih sayang, belas kasihan dan tidak mementingkan diri sendiri.
Selain dari golongan fakir dan miskin, golongan Al-Gharimin juga berhak menerima zakat. Golongan Al-Gharimin ialah orang Islam yang berhutang secara yang diluluskan oleh hukum syarak. Mereka tidak mempunyai sumber kewangan untuk menyelesaikan hutang dan mereka berhutang untuk perkara asasi dan menepati hukum syarak. Menurut Imam Al-Ghazali dalam kitab ‘Mau’izzatul Mukminin Min Ihyai’e Ulumiddin, Al-Gharimin’ itu ialah orang yang dibebani hutang dan ia berhutang kerana tujuan ketaatan, atau kerana sebab yang mubaah (harus) seperti perbelanjaan ke atas anak isteri sedangkan orang yang berhutang itu dalam keadaan fakir dan miskin, ia tidak lagi sanggup atau berdaya untuk membayar hutangnya itu. Ketika itu bolehlah ia mengadu nasib kepada penguasa sehingga hutang itu dapat dibayar dengan zakat. Kiranya orang yang berhutang itu seorang yang kaya atau mempunyai harta benda tiadalah boleh ditunaikan hutangnya itu dari bahagian zakat, kecuali jika ia berhutang kerana faedah dan maslahat orang ramai, ataupun kerana tujuan memadamkan fitnah atau huru-hara.
Sememangnya tidak dinafikan bahwasanya Allah Subhanahu Wata’ala telah menetapkan rezeki yang berbeza-beza di antara hamba-hamba-Nya, ada di antara mereka hidup dengan kesenangan dan kemewahan, ada yang hidup dalam kesederhanaan dan ada pula hidup dalam serba kekurangan dan kedaifan dan mereka itulah orang fakir dan miskin. Tetapi agama Islam melarang umatnya untuk berserah kepada takdir semata-mata, bahkan memerintahkan umatnya berusaha mencari rezeki.
Sebagai orang Islam hendaklah sentiasa bersyukur dan reda ke atas rezeki yang dikurniakan Allah Subhanahu Wata’ala kepadanya. Dan seterusnya mengamalkan sikap berpada dalam kehidupannya, di mana dengan cara itu, orang tersebut akan menjadi orang yang paling bersyukur dan sekali gus paling berbahagia.
Sesungguhnya orang yang mengeluarkan zakat itu hendaklah tahu dan yakin bahawa apa yang diberikannya kepada orang yang berhak menerimanya bukanlah kerana kemurahannya, tetapi ia adalah hak yang telah ditetapkan oleh Allah Subhanahu Wata’ala. Dan bagi orang yang menerima zakat pula, mereka hendaklah mengetahui bahawa Allah Subhanahu Wata’ala mewajibkan pemberian zakat itu adalah untuk mencukupi keperluannya supaya menjadi pertolongan kepadanya untuk mengerjakan ketaatan. Mereka hendaklah bersyukur kepada orang yang telah memberikan zakat itu, mendoakan serta memuji kebaikan dan keikhlasan mereka. Selain itu mereka hendaklah juga memelihara diri dari hal-hal yang meragukan dalam kadar zakat yang diambilnya itu, yakni jangan ia menerima melainkan dalam kadar yang harus ia menerimanya dan jangan pula ia mengambil zakat itu kecuali jika ia merasa yakin bahawa ia termasuk golongan orang yang berhak menerimanya.
Jika ia menerima bahagian zakat itu juga sedangkan ia tidak termasuk dalam golongan yang berhak menerima zakat, seperti ia bukan golongan fakir, miskin atau Al-Gharimin, maka perbuatannya itu adalah haram dan berdosa. Firman Allah Subhanahu Wata’ala dalam Surah Al Baqarah ayat 172, tafsir-Nya :
“Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah dari benda-benda yang baik yang halal yang telah Kami berikan kepada kamu dan bersyukurlah kepada Allah, maka jika betul kamu beribadat kepada-Nya.”
Alhamdulillah, baru-baru ini Majlis Penyerahan Dokumen Agihan Baki Wang Zakat Kepada Asnaf Fakir Miskin dan Asnaf Al-Gharimin Yang Tertunggak Hutang Permohonan Kepada Jabatan Perumahan, Pembangunan dan Kepada Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah telah disempurnakan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam. Kita bersyukur kerana dengan adanya agihan zakat tersebut akan dapat membantu mereka mengatur kehidupan yang lebih baik dan selesa dan sudah setentunya orang yang menerima bantuan tersebut lebih merasa bersyukur.
Alhamdulillah, terdapat di antara penerima zakat tersebut, yang mana jika sebelum ini mereka hanya menerima kadar cukup-cukup untuk memenuhi keperluan mereka, namun kini kadar tersebut telah ditambah sehingga melebihi dari yang diperlukan. Maka dalam hal ini sudah sewajibnya mereka merasa bersyukur di atas kurnia tersebut. Apa yang penting ialah mereka memanfaatkan bahagian masing-masing dengan bijaksana dan berhemah sebagaimana titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam majlis tersebut iaitu dengan mengelakkan gaya hidup boros atau membazir. Maka dalam hubungan itu, adalah disarankan supaya mereka berfikir untuk menabung iaitu menyimpan sedikit kewangan untuk berjimat cermat dan memikirkan masa hadapan dengan menyertai skim-skim takaful.
Tidak mustahil juga dengan pembayaran zakat tersebut, ada di antara mereka berazam kuat serta berikhtiar dengan bijaksana untuk terus bertahan di bawah label ‘tidak lagi memerlukan agihan zakat’, bahkan suatu hari nanti mereka pula yang menghulurkan zakat sekali gus dapat membantu golongan lain yang memerlukan bantuan. Mudah-mudahan dengan keazaman tersebut, yang dilaksanakan oleh setiap orang, maka hasrat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam melalui negara yang sedang bergerak ke arah membebaskan diri daripada kencah kemiskinan akan dapat terlaksana dan tercapai.
Sesungguhnya zakat dapat mengukuhkan perpaduan umat Islam kerana dengan berzakat itu dapat membantu orang-orang yang memerlukan pertolongan seperti fakir dan miskin, di mana melalui bantuan zakat yang diberikan sudah tentu dapat meringankan beban kemiskinan dan kesusahan yang dihadapi oleh mereka. Namun sebagai umat Islam kita hendaklah sentiasa berusaha, berikhtiar memperbaiki kehidupan ke arah yang lebih baik, kerana nasib dan rezeki tidak akan berubah jika kita sendiri tidak berusaha untuk mengubahnya. Mudah-mudahan dengan berbuat demikian kita dapat menikmati kebahagiaan hidup di dunia dan di Akhirat.
Akhirnya sama-samalah kita berdoa kepada Allah Subhanahu Wata’ala semoga orang yang telah menerima bantuan zakat iaitu golongan asnaf fakir miskin dan asnaf Al-Gharimin akan dapat menikmati kehidupan yang lebih baik, dimurahkan rezeki dan seterusnya mereka dapat meningkatkan ibadah kepada Allah Subhanahu Wata’ala yang telah memberi rezeki kepada kita semua. Amin Ya Rabbal’alamin.
Firman Allah Subhanahu Wata’ala dalam Surah Ar Ra’d ayat 11, tafsir-Nya: “Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki untuk menimpakan kepada sesuatu kaum bala bencana disebabkan kesalahan mereka sendiri, maka tiada sesiapa pun yang dapat menolak atau menahan apa yang ditetapkannya itu dan tidak ada sesiapa pun yang dapat menolong dan melindungi mereka selain daripada-Nya.”
Wednesday, September 23, 2009
Bersyukur raikan Syawal
Kita telah pun berada di penghujung bulan Ramadan. Tidak dinafikan pada waktu dan saat begini, kemeriahan menyamu awal Syawal atau Hari Raya semakin dirasai. Masing-masing sudah berkira-kira dan merancang membuat persiapan bagi menyambut Hari Raya. Sememangnya agama Islam tidak melarang kita membuat persediaan bagi memeriahkan sambutan Hari Raya. Ini kerana Hari Raya adalah hari kemenangan kita umat Islam setelah melaksanakan rukun Islam ketiga dan berjaya menumpaskan hawa nafsu dan godaan syaitan.
Walau bagaimanapun kita hendaklah tidak dilalaikan dalam membuat persiapan berhari raya kerana pada saat dan ketika inilah kita sewajarnya merebut peluang untuk mempertingkatkan lagi amal ibadat kita untuk memperolehi ganjaran yang berlipatganda yang dijanjikan oleh Allah Subhanahu Wata’ala. Janganlah kita mempersia-siakan kesempatan yang ada ini kerana kita tidak tahu sama ada kita masih berpeluang menyambut Ramadan pada tahun hadapan atau pun tidak.
Oleh itu, sehendaknya amal ibadat yang dikerjakan seperti membaca Al-Qur’an, berdoa, berzikir, beriktikaf, bersedekah dan mengerjakan sembahyang-sembahyang sunat dilipatgandakan dan jangan tinggalkan Sembahyang Sunat Tarawih kerana ianya hanya dapat dilakukan pada malam-malam bulan Ramadan sahaja.
Apa yang perlu kita ingat ialah jangan kita abaikan nilai dan roh Ramadan sehingga seolah-olah ibadah puasa yang kita kerjakan tiada memberi kesan yang baik pada diri kita. Sewajarnya Sembahyang Tarawih yang dikerjakan setiap malam Ramadan dapat membiasakan kita mengamalkan sembahyang-sembahyang sunat yang lain. Kesabaran menahan lapar dan dahaga sepanjang siang Ramadan juga sewajarnya menjadikan diri kita lebih sabar menjalani liku-liku kehidupan. Latihan kesabaran tersebut dapat membuang sikap panas baran, gopoh-gapah dan mementingkan diri sendiri yang mungkin menjadi kebiasaan kita sebelum ini. Begitu juga, berpuasa dapat mengembalikan kesihatan tubuh badan yang mungkin sebelum ini kita tidak berkesempatan mengamalkan pemakanan yang seimbang.
Selain itu juga kita janganlah lupa dari membayar zakat fitrah untuk diri dan tanggungan. Ketahuilah bahawa waktu bagi menunaikan tuntutan zakat fitrah adalah bermula dari awal Ramadan, akan tetapi sudah menjadi tabiat segelintir masyarakat kita melambat-lambatkan dan melengah-lengahkan tuntutan kewajipan tersebut sehinggakan mereka berduyun-duyun datang dan berbaris pada saat akhir waktu. Meskipun membayar zakat fitrah sunat dilakukan selepas Sembahyang Subuh hingga imam mendirikan Sembahyang Sunat Hari Raya, tetapi janganlah sampai hanya kerana mengejar fadilat waktu sunat membayar, tuntutan membayar kewajipan zakat fitrah itu pula terlepas.
Dalam kita menyambut kedatangan bulan Syawal, kita hendaklah meraikannya mengikut yang digariskan oleh agama Islam iaitu sunat melaungkan takbir sebaik sahaja diumumkan bahawa anak bulan Syawal telah sabit dilihat dan sunat juga menghidupakan malam Hari Raya dengan berzikir, bertahmid, bertasbih, beristighfar, berdoa dan mengerjakan sembahyang sunat.
Pada pagi Hari Raya pula, sunat mandi dengan niat kerana kedatangan Aidilfitri, sunat memakai bau-bauan yang harum, membersihkan diri dengan bergunting rambut dan memotong kuku serta memakai pakaian yang paling elok. Kita juga disunatkan memakan buah kurma dengan bilangan yang ganjil sebelum pergi ke masjid. Menunaikan Sembahyang Sunat Hari Raya adalah perkara yang paling penting dan utama dalam menyambut Hari Raya daripada perkara-perkara sunat yang lain. Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, maksudnya :
“Dari Al-Bara’I bin Gharib ia berkata : Sabda Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam, sesungguhnya yang awal-awal sekali kita memulakan pada hari ini (Hari Raya) ialah sembahyang.” Riwayat Al-Imam Al-Bukhari.
Begitulah indahnya dan telitinya agama Islam sehingga menyambut hari kegembiraan pun terdapat adab-adab dan garis panduan yang memimpin umatnya agar tidak terpesong dari tujuan sebenar sambutan diadakan iaitu sebagai melahirkan rasa syukur terhadap Allah Subhanahu Wata’ala, Itulah perbezaan agama Islam dengan agama-agama lain yang mengadakan sambutan hanya untuk bergembira dan bersuka ria.
Di samping kita bersyukur dan bergembira merayakan Hari Raya, kita juga disunatkan melakukan Puasa Sunat Enam Hari di bulan Syawal yang bermula pada dua Syawal. Adapun Puasa Enam di bulan Syawal, mengerjakannya dengan berturut-turut adalah yang lebih afdal dan utama. Walau bagaimanapun tidak menjadi kesalahan jika Puasa Enam itu dilakukan secara berselang hari atau dibuat pada bila-bila masa asalkan di bulan Syawal.
Sesungguhnya ganjaran bagi orang yang mengerjakan Puasa Sunat Enam Hari di bulan Syawal setelah berpuasa sebulan Ramadan, seolah-olah ia berpuasa sepanjang tahun. Sebagaimana hadis Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, maksudnya :
“Dari Abi A’yub Al-Ansari Radiallahuanhu, ia menceritakan bahawa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda : Barangsiapa yang berpuasa pada bulan Ramadan kemudian diikuti dengan Puasa Enam Hari pada bulan Syawal, seolah-olah ia berpuasa sepanjang tahun.” Hadis Riwayat Al-Imam Muslim.
Kedatangan Ramadan hanya setahun sekali. Dengan beradanya kita di penghujung Ramadan ini, janganlah pula kita menjadikannya sebagai titik penghujung amal ibadat kita kerana amal ibadat tersebut bukan sahaja dapat dilakukan di bulan Ramadan bahkan kita hendaklah mempraktikkan dan memeliharanya pada setiap masa dan ketika.
Akhirnya marilah kita sama-sama merayakan hari kemenangan iaitu hari Raya Aidilfitri dengan mentaati apa yang telah diajarkan oleh agama Islam. Di samping itu marilah kita berazam menunaikan Puasa Enam di Bulan Syawal. Mudah-mudahan segala ibadat dan amal kebajikan yang kita lakukan akan diterima oleh Allah Subhanahu Wata’ala dan mudah-mudahan kita semua mendapat berkat dan rahmat serta keampunan dari Allah Subhanahu Wata’ala. Amin Ya Rabal’alamin.
Firman Allah Subhanahu Wata’ala dalam Surah Ali‘Imran ayat 133, tafsir-Nya : “Dan segeralah kamu kepada mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat kempunan dari Tuhan kamu dan mendapat Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa.”
Wednesday, September 16, 2009
Puasa masuk ke 26
Tuesday, September 15, 2009
Monday, September 14, 2009
Tingkatkan amalan pada setiap sepuluh malam terakhir
Bulan Ramadan adalah bulan yang penuh dengan kemuliaan dan keberkatan. Adapun keberkatan yang agung yang menjadikan bulan Ramadan menjadi rebutan orang-orang beriman adalah kerana pada bulan ini diturunkan Al-Qur’an yang menjadi panduan dan pegangan hidup kita. Di samping keberkatan bulan Ramadan itu juga terdapat padanya keistimewaan yang tidak terdapat di bulan-bulan lain melainkan pada bulan Ramadan iaitu satu malam yang dikenali sebagai Malam Lailatulqadar. Allah Subhanahu Wata’ala berfirman dalam Surah Al Qadr ayat 1 - 3, tafsirnya :
“Sesungguhnya Kami telah menurunkan Al-Qur’an ini pada Malam Lailatulqadar. Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatulqadar itu?. Malam Lailatulqadar lebih baik daripada seribu bulan.”
Berdasarkan firman Allah Subhanahu Wata’ala itu tadi, Malam Lailatulqadar adalah lebih baik ganjarannya daripada seribu bulan. Oleh yang demikian alangkah bertuahnya sesiapa yang dapat memperolehi keberkatan yang sepenuhnya daripada malam ini dengan cara melakukan amal ibadat kepada Allah Subhanahu Wata’ala kerana dia akan memperolehi pahala beribadat selama seribu bulan iaitu 83 tahun empat bulan atau lebih kurang 30,000 hari, malah lebih banyak daripada itu. Cuba bayangkan jika kita mampu menumpukan amal ibadat kita pada bulan Ramadan ini dan dengan izin Allah kita memperolehi Lailatulqadar, maka kita seolah-olah memperolehi nilai pahala beribadat sepanjang hidup.
Sesungguhnya kita tidak dapat mengetahui bila berlakunya Lailatulqadar. Akan tetapi sebahagian ulama berpendapat Lailatulqadar itu berlaku pada sepuluh malam terakhir bulan Ramadan di mana besar kemungkinan ia berlaku pada malam berangka ganjil, sama ada pada malam ke 21, 23, 25, 27, atau pada malam 29, ini berdasarkan kepada hadis Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, maksudnya :
“Dari A’isyah Radiallahuanha, sesungguhnya Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda : Carilah Lailatulqadar pada malam-malam yang ganjil pada sepuluh hari terakhir bulan Ramadan.” (Riwayat Al-Imam Al-Bukhari).
Adapun hikmat kenapa dirahsiakan bila berlakunya Lailatulqadar itu supaya kita akan berusaha untuk beribadat bersungguh-sungguh pada setiap malam di bulan Ramadan dan tidak akan hanya beribadat pada malam tertentu sahaja.
Ketahuilah bahawa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam akan lebih mempertingkatkan amalan Baginda sebaik sahaja memasuki malam ke-21 Ramadan iaitu dengan beriktikaf di masjid, membangunkan ahli keluarga Baginda untuk bersembahyang dan sebagainya. Ini jelas menunjukkan bahawa Baginda benar-benar berusaha untuk memperolehi Malam Lailatulqadar itu. Daripada Abdullah bin Umar Radiallahuanhuma, katanya dan maksudnya :
“Adalah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam beriktikaf di sepuluh terakhir daripada bulan Ramadan.” (Riwayat Al-Imam Al-Bukhari).
Iktikaf bermaksud tinggal atau berhenti di dalam masjid untuk melakukan ibadat bagi mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu Wata’ala. Hukumnya adalah sunat pada bila-bila masa dan beriktikaf pada sepuluh hari terakhir dalam bulan Ramadan adalah terlebih afdal kerana untuk memperolehi Lailatulqadar. Iktikaf itu sangat tinggi nilainya pada syarak, kerana itu semasa beriktikaf hendaklah dipenuhi dengan ibadat seperti membaca Al-Qur’an, berzikir dan bertasbih. Ia boleh dilakukan dengan mudah walaupun hanya sebentar berada di dalam masjid.
Amalan beriktikaf dapat mendorong hati seseorang supaya sentiasa mengingati Allah Subhanahu Wata’ala. Ia juga dapat mendidik jiwa, mengasuh dan membersihkan rohani serta tidak terpengaruh dengan kemewahan kebendaan ketika melaksanakan ibadat puasa. Amalan iktikaf juga dapat menanam dan memupuk perasaan cintakan ibadat dan masjid. Beriktikaf di masjid membolehkan seseorang itu benar-benar menyiapkan diri dan menumpukan fikiran kepada ibadat sebagai menyambut kedatangan Lailatulqadar.
Oleh yang demikian, sebagai mengambil apa yang dilakukan oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, sepatutnya orangorang Islam di setiap malam sepuluh terakhir bulan Ramadan hendaklah meningkatkan amal dan sentiasa mengerjakan amal soleh bagi menyambut kedatangan Lailatulqadar dan mendapatkan keistimewaannya, tidak kira di mana sahaja, namun yang lebih afdal adalah di masjid. Janganlah kita mensia-siakan peluang yang ada dengan
lebih mementingkan urusan keduniaan seperti terlalu sibuk membuat persiapan Hari Raya sehingga amal ibadat yang biasa dilakukan di bulan Ramadan seperti Tarawih dan membaca Al-Qur’an berkurangan dan lebih menyedihkan lagi tidak dilakukan langsung. Sesungguhnya perkara-perkara tersebut hukumnya sunat sahaja, tetapi pada hakikatnya kita memang berhajat kepada amal ibadat yang sunat bagi menampung kekurangan-kekurangan yang terdapat di dalam amal ibadat yang fardu.
Memandangkan betapa ganjaran Lailatulqadar itu, maka rebutlah peluang meningkatkan amal ibadat dan beriktikaf terutama sekali di sepuluh terakhir di bulan Ramadan yang hanya datang sekali setahun. Mudah-mudahan segala amal ibadat yang kita lakukan di sepanjang bulan Ramadan ini diterima Allah Subhanahu Wata’ala dan seterusnya akan mendapat keberkatan dan keredaan dari Allah Subhanahu Wata’ala. Amin Ya Rabbal’alamin.
Firman Allah Subhanahu Wata’ala dalam Surah Al Qadr ayat 1 - 5, tafsirnya: “Sesungguhnya Kami telah menurunkan AlQur’an ini pada Malam Lailatulqadar. Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatulqadar itu?. Malam Lailatulqadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu, turunnya Malaikat dan Jibril, dengan izin Tuhan mereka kerana membawa segala perkara yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut. Sejahteralah malam yang berkat itu hingga terbit fajar.”
Berpuasa Di Negeri Org
Thursday, September 10, 2009
Sepuluh Malam Terakhir
Wednesday, September 9, 2009
PERISTIWA AGUNG 17 RAMADAN
PERISTIWA 17 Ramadan adalah salah satu hari yang berlakunya peristiwa penting dalam sejarah Islam. Peristiwa Nuzul Al-Qur'an yang berlaku pada 17 Ramadan di Gua Hira' tahun ke 41 daripada keputeraan Junjungan Besar kita Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam menjadikan satu peristiwa agung dalam kehidupan Baginda sehingga seterusnya diturunkan berperingkat-peringkat menjadi lengkap sebagaimana kitab suci Al-Qur'an karim yang ada pada hari ini. Al-Qur'an merupakan mukjizat yang paling besar yang dikurniakan kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam. Sebagaimana firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Al Baqarah ayat 185 yang mafhumnya: "Bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Qur'an, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dan yang salah."
Nuzul bererti turun atau berpindah iaitu berpindah dari tempat sebelah atas ke tempat sebelah bawah. Manakala Al-Qur'an pula bermaksud bacaan atau himpunan. Ia dikatakan sebagai bacaan kerana Al-Qur'an itu untuk dibaca oleh manusia. Di dalamnya terhimpun ayat yang menjelaskan pelbagai perkara merangkumi soal tauhid, ibadat, jinayat, muamalat, sains, teknologi dan sebagainya. Kalimah Al-Qur'an sering dicantumkan dengan rangkai kata 'Al-Qur'an mukjizat akhir zaman' atau 'Al-Qur'an yang mempunyai mukjizat'. Malah inilah sebenarnya kelebihan Al-Qur'an tidak ada satu perkara pun yang dicuaikan atau tertinggal di dalam Al-Qur'an. Dengan perkataan lain segalanya terdapat di dalam Al-Qur'an. Allah Subhanahu Wata'ala berfirman dalam Surah Al An'aam ayat 38 yang mafhumnya:
"Dan tidak seekor pun binatang yang melata di bumi dan tidak seekor pun burung yang terbang dengan kedua sayapnya, melainkan mereka umat-umat seperti kamu. Tiada Kami tinggalkan sesuatu pun di dalam kitab Al-Qur'an ini; kemudian mereka semuanya akan dihimpunkan kepada Tuhan mereka (untuk dihisab dan menerima balasan)."
Al-Qur'an diturunkan beransur-ansur dalam masa dua puluh dua tahun, dua bulan dan dua puluh dua hari (dua puluh tiga tahun). Tiga belas tahun di Mekah dan sepuluh tahun di Madinah. Al-Qur'an adalah hidayah, rahmat, syifa, an-nur, al-furqan dan pemberi penjelasan bagi manusia. Segala isi kandungan Al-Qur'an itu benar. Selain disebut Al-Qur'an, ia juga disebut al-Kitab, al-Furqan, an-Nur, az-Zikr dan lain. Al-Qur'an dikenali sebagai an-Nur bererti cahaya yang menerangi, al-Furqan bererti yang dapat membezakan di antara yang hak dan batil dan az-Zikr pula bermaksud yang memberi peringatan.
Dalam sejarah kehidupan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, ayat Al-Qur'an yang mula-mula sekali diturunkan Allah kepada Baginda melalui perantaraan Malaikat Jibrail (penyampai wahyu) ialah lima ayat awal daripada Surah Al 'Alaq yang mafhumnya:
"Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk), Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku; Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah, yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya."
Di antara Keagungan Al-Qur'an:
1. Allah Subhanahu Wata'ala berfirman dalam Surah Al Israa' ayat 88 yang mafhumnya:
"Katakanlah (wahai Muhammad): "Sesungguhnya jika sekalian manusia dan jin berhimpun dengan tujuan hendak membuat dan mendatangkan sebanding dengan Al-Qur'an ini, mereka tidak akan dapat membuat dan mendatangkan sebanding dengannya, walaupun mereka bantu-membantu sesama sendiri."
2. Orang yang membaca, menghafaz dan melihat sambil memikirkan keajaiban yang ada pada susunannya diberikan pahala.
3. Al-Qur'an sumber hidayah bagi kebahagiaan hidup manusia di dunia dan di akhirat.
4. Tidak sesiapa pun sama ada di kalangan manusia atau jin yang mampu mencipta ayat yang menyerupai Al-Qur'an. Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Al Baqarah ayat 23 yang mafhumnya:
"Dan kalau kamu ada menaruh syak tentang apa yang Kami turunkan (Al-Qur'an) kepada hamba Kami (Muhammad), maka cubalah buat dan datangkanlah satu surah yang sebanding dengan Al-Qur'an itu dan panggillah orang-orang yang kamu percaya boleh menolong kamu selain dari Allah, jika betul kamu orang-orang yang benar."
5. Al-Qur'an merupakan mukjizat tertinggi dan teristimewa yang hanya dikurniakan kepada Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam.
6. Manusia belum mampu menyelami dan menerokai rahsia Al-Qur'an secara menyeluruh sehingga hari ini. Ini bererti sifat kehebatan, keagungan dan keunggulan Al-Qur'an secara tersendiri dengan pengertiannya yang amat luas dan mendalam kekal terpelihara hingga Hari Kiamat.
7. Al-Qur'an sebagai petunjuk jalan kebenaran. Membawa manusia daripada kegelapan kepada cahaya yang terang. Firman Allah Subhanhu Wata'ala dalam Surah Al Baqarah ayat 2 yang mafhumnya:
"Kitab Al-Qur'an ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya dari Allah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi pertunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa."
8. Membaca Al-Qur'an mendapat ganjaran pahala dan syafaat daripada Allah Subhanahu Wata'ala. Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda yang bermaksud: "Bacalah Al-Qu'ran, sesungguhnya ia akan datang pada Hari Kiamat sebagai syafaat kepada pembacanya."
Kandungan Al-Qur'an mencakupi segala aspek kehidupan
Di bulan Ramadan yang penuh rahmat dan keberkatan ini, sama-samalah kita memanjatkan syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana memanjangkan umur dan memberi kesempatan kepada kita untuk melipatgandakan usaha dan amal ibadat bagi mendapatkan ganjaran pahala di bulan yang penuh mubarak ini.
Dalam bulan ini terdapat peristiwa agung berlaku dalam sejarah Islam iaitu turunnya kitab suci Al-Qur’an. Al-Qur’an diturunkan sebagai pegangan, pedoman dan petunjuk buat sekalian manusia agar hidup sejahtera, aman, tenteram dan selamat di dunia dan di Akhirat. Allah Subhanahu Wata’ala berfirman dalam Surah Al Baqarah ayat 185, tafsirnya :
“Bulan Ramadan yang padanya diturunkan AlQur’an, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan menjelaskan perbezaan di antara yang benar dan salah.”
Al-Qur’an diturunkan secara berperingkat-peringkat iaitu sedikit demi sedikit supaya ianya mudah dihafal, difahami dan dilaksanakan. Ia merupakan suatu rahmat dan kurniaan yang sangat besar kepada hamba-hamba-Nya. Tempoh Al-Qur’an itu diturunkan pula ialah selama lebih 22 tahun, bermula pada 17 Ramadan tahun 41 kelahiran Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam. Dalam tempoh tersebut, Al-Qur'an telah dihafal oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dan para sahabat serta dicatat oleh para penulisan Al-Qur’an. Adapun ayat Al-Qur’an yang mula-mula sekali diturunkan oleh Allah Subhanahu Wat’ala kepada Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam melalui perantaraan Malaikat Jibril Alaihissalam ialah lima ayat Al-Qur’an daripada Surah Al ‘Alaq dan kejadian itu berlaku semasa Baginda sedang menyendiri untuk beribadah di Gua Hira. Ayat-ayat tersebut ialah, tafsirnya :
“Bacalah wahai Muhammad dengan nama Tuhanmu yang menciptakan sekalian makhluk. Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku. Bacalah dan Tuhanmu yang Maha Pemurah. Yang mengajarkan manusia melalui pena dan tulisan. Ia mengajar manusia apa yang tidak diketahuinya.”
Sesungguhnya kandungan Al-Qur’an mencakupi dalam segala segi dan aspek kehidupan, sama ada hubungan manusia dengan Allah atau hubungan manusia dengan manusia seperti dalam hal peribadatan, sosial, ekonomi, budaya, politik dan sebagainya.
Al-Qur’an juga menjadi ubat, penawar dan penyembuh kepada berbagai jenis penyakit. Firman Allah Subhanahu Wata’ala dalam Surah Al Israa’ ayat 82, tafsirnya :
“Dan Kami turunkan dengan beransur-ansur daripada Al-Qur’an ayat suci yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang yang beriman kepada-Nya. Dan (sebaliknya) Al-Qur’an tidak menambahkan orangorang yang zalim disebabkan keingkaran mereka melainkan kerugian jua.”
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari, dari Abu Sa'id Al-Khudri Radiallahuanhu, katanya : Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam telah mengutus kami dalam sebuah pasukan kecil berjumlah 30 orang, kami singgah di sebuah perkampungan suatu kaum orang-orang Arab. Kami meminta supaya mereka menerima kami sebagai tetamu, tetapi mereka enggan. Tiba-tiba ketua mereka disengat kalajengking. Lalu mereka pun mendatangi kami dan bertanya : Adakah di dalam rombongan kamu ini seseorang yang pandai mengubat sengatan kalajengking? Abu Sa'id menjawab : Ya, saya. Akan tetapi saya tidak akan mengubatinya sehingga kamu bersetuju untuk memberi kami sesuatu. Maka mereka pun bersetuju dengan katanya : Kami akan memberi kamu 30 ekor kambing biri-biri. Lalu Abu Sa'id pun membaca (menjampi) ketua kaum itu dengan Surah Al Faatihah sebanyak tujuh kali.
Apabila para sahabat itu sudah menerima 30 ekor kambing yang dijanjikan, mereka teringat untuk bertanya kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam adakah perbuatan mereka itu betul atau tidak. Setelah semuanya diperincikan kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, maka Baginda pun bersabda : Apa yang aku tahu Al Faatihah itu memanglah jampi.
Sesungguhnya dengan membaca Al-Qur’an kita juga akan mendapat ganjaran pahala yang amat besar lebih-lebih lagi di bulan Ramadan ini. Sememangnya terdapat banyak surah-surah yang besar manfaatnya dan kelebihannya jika diamalkan, contohnya Surah Al Waaqi’ah, surah ini telah lazim diamalkan oleh umat Islam disebabkan fadilatnya yang amat besar. Sesiapa yang membaca surah ini pada tiap-tiap malam, akan terhindarlah ia dari kepapaan selama-lamanya.
Manakala bagi sesiapa yang mengamalkan membaca Surah As Sajdah pula akan mendapat pahala seperti sembahyang pada malam Lailatulqadar, dikurniakan nur (cahaya) pada dirinya ketika mati dan terlepas daripada seksa kubur.
Perlu diingat, walaupun beberapa surah dalam Al-Qur’an itu mempunyai kelebihan - kelebihannya yang tersendiri, janganlah kita hanya membaca surah-surah tersebut dan meninggalkan surah-surah yang lain, kerana setiap satu huruf daripada Al-Qur’an yang dibaca itu ada pahalanya, ini dijelaskan dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam At Tirmidzi dari Abdullah bin Masuud bahawa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam telah bersabda, maksudnya :
“Barang siapa membaca satu huruf daripada kitab Allah, maka baginya satu kebajikan dan setiap kebajikan sepuluh kali ganda. Aku tidak mengatakan Alif Lam Mim itu satu huruf tetapi Alif satu huruf, Lam satu huruf dan Mim satu huruf.”
Betapa banyaknya ganjaran pahala dan fadilat bagi mereka yang membaca Al-Qur’an, maka kita jadikanlah membaca AlQur’an itu sebagai amalan harian sepanjang tahun, bukannya amalan bermusim sekali setahun. Jangan hanya di bulan Ramadan saja kita rajin membaca Al-Qur’an, tetapi di bulan-bulan yang lain kita lali dengan kesibukan-kesibukan harian.
Sama-samalah kita berdoa mudah-mudahan kita menjadi umat Islam yang sentiasa mencintai AlQur’an, selalu membaca dan menghayati serta mengamalkannya dalam kehidupan seharian. Semoga kita tergolong di kalangan orang yang berjaya di dunia ini dan akan mendapat syafaat di Akhirat nanti. Amin Ya Rabbal’alamin.
Firman Allah Subhanahu Wata’ala dalam Surah Al Baqarah ayat 1 - 4, tafsirnya :
“Alif Lam Mim, kitab (Al-Qur’an) ini tidak ada keraguan padanya. Petunjuk bagi mereka yang bertaqwa. Iaitu mereka yang beriman kepada yang azab yang mendirikan sembahyang dan menafakahkan sebahagian rezeki yang kami anugerahkan kepada mereka. Dan mereka yang beriman yang beriman kepada kitab (Al-Qur’an) yang telah diturunkan kepadamu dan kitab-kitab yang telah diturunkan sebelumnya, serta mereka yakin akan adanya kehidupan akhirat.”
Wednesday, September 2, 2009
Bersedekah selepas menziarahi kubur amalan terpuji
Sembahyang Sunat Tarawih merupakan amalan yang amat digalakkan dalam Islam, yang dikerjakan selepas Sembahyang Isyak hingga terbit fajar sadiq pada malam-malam sepanjang bulan Ramadan. Sembahyang ini boleh dilakukan secara bersendirian namun jika ia dilakukan secara berjemaah di masjid adalah lebih baik dan banyak fadilatnya. Ini kerana beriktikaf di masjid sahaja sudah mendapat pahala besar, inikan pula mengerjakan Sembahyang Sunat Tarawih secara berjemaah di dalam masjid. Apa yang penting, di mana juga kita mengerjakannya, Sembahyang Sunat Tarawih itu hendaklah ditunaikan dengan penuh khusyuk dan sempurna, bukan terburu-buru.
Dengan beradanya kita di bulan Ramadan ini, kita berpuasalah dengan sempurna dan penuh keikhlasan dan kerjakanlah amal ibadat dengan khusyuk dan tawaduk, semoga ibadat puasa dan apa jua amal ibadat yang dikerjakan diterima Allah Subhanahu Wata’ala, mendapat keredaan-Nya serta mendapat ganjaran sebagaimana yang telah dijanjikan Allah Subhanahu Wata’ala.
Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari, maksudnya :
“Dari Abi Hurairah Radiallahuanhu, bahwasanya Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda : Sesiapa yang mendirikan solat sunat pada malam-malam bulan Ramadan dengan penuh keimanan dan mengharapkan keredaan daripada Allah, akan diampunkan dosanya yang terdahulu.”
Dalam kita berada di bulan Ramadan yang Mubarak ini, ramai di kalangan kita mengambil kesempatan menziarahi tanah perkuburan. Sebenarnya amalan menziarahi kubur adalah amalan yang lazim dilakukan oleh umat Islam di negara ini dan amalan tersebut semakin bertambah bila tiba bulan Ramadan dan di pagi Hari Raya Aidilfitri. Pada hakikatnya ziarah tanah perkuburan ini tidaklah tertumpu pada bulan Ramadan atau bulan Syawal sahaja, tetapi kita juga digalakkan berziarah pada bila-bila masa terutama pada hari Jumaat.
Pada hakikatnya orang yang telah meninggal dunia menunggu-nunggu ziarah daripada orang yang hidup. Mereka menyananginya seperti juga keadaan di masa hidup. Bukankah bagi kita pada masa hidup, ziarah-menziarahi itu menjadi perbuatan yang sangat terpuji dan dituntut, kerana fungsinya boleh mengeratkan ikatan serta menyuburkan lagi kasih mahabah dan kemesraan di antara pengunjung dan orang yang dikunjungi, terutamanya di antara ibu bapa dan anak-anak.
Dalam sebuah kisah, daripada Uthsman bin Saudaat As-Saffawi, ibunya adalah seorang ahli ibadat dan telah pun meninggal dunia. Pada setiap hari Jumaat Uthsman menziarahi kubur ibunya dan berdoa serta memohonkan keampunan bagi ibunya dan bagi semua penghuni kubur. Suatu ketika Uthsman bermimpi berjumpa ibunya, Uthsman bertanya : Wahai ibu, adakah ibu mempunyai apa-apa hajat? Jawab ibunya : Ya! Uthsman bertanya lagi, apakah hajat ibu itu? Ibunya menjawab : Janganlah engkau berhenti daripada apa yang telah engkau lakukan iaitu menziarahi dan mendoakan kami, kerana aku sangat gembira dengan kedatanganmu pada hari Jumaat. Dikatakan kepadaku : Wahai perempuan ahli ibadat, ini dia anakmu datang. Maka aku pun gembira dan begitu juga roh-roh di sekelilingku juga turut gembira.
Oleh yang demikian, wahai kaum Muslimin, janganlah jadikan amalan ziarah kubur sebagai amalan bermusim seperti setahun sekali iaitu pada Hari Raya atau bulan Ramadan sahaja. Ketahuilah ziarah kubur itu boleh mendatangkan pahala dan mendatangkan rahmat kepada orang yang telah meninggal dunia.
Perlu diingat apabila kita menziarahi tanah perkuburan, jangan pula kita lupa panduan dan adab-adab ziarah kubur yang patut diikuti, antaranya sebelum menziarahi kubur, disunatkan kita berwuduk serta memakai pakaian yang bersesuaian dan menutup aurat.
Apabila kita sampai di tanah perkuburan, kita disunatkan memberi salam kepada semua ahli atau penghuni kubur. Setelah berada di tepi kubur kerabat yang hendak diziarahi, afdal berdiri di tepi kubur dengan membelakangi kiblat dan menghadap ke arah muka ahli kubur yang kita ziarahi sambil memberi salam secara khusus kepadanya seperti “Assalamu'alaikum wahai ayahku”.
Setelah itu, disunatkan duduk menghadap ke arah mukanya serta membaca ayat-ayat suci Al-Qur’an dan menghadiahkan pahala kepada ahli kubur tersebut. Kemudian disunatkan menghadap kiblat dan berdoa semoga Allah mengampuni dosa dan melimpahkan rahmat ke atas roh ahli kubur. Setelah itu disunatkan menjirus air dan meletakkan pelepah yang masih hijau serta tumbuh-tumbuhan wangi yang masih basah di atas kubur.
Seperti lazimnya di negara kita, amalan bersedekah selalu dilakukan selepas ziarah kubur, amalan itu sememangnya amalan yang baik dan terpuji kerana amalan bersedekah adalah antara sunnah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dan diniatkan kepada ahli kubur agar pahalanya akan sampai kepada penghuni kubur tersebut.
Dalam kita melakukan amalan ziarah kubur itu jagalah aqidah dan keimanan kita, jangan dicampuradukkan dengan perkara yang bertentangan dengan hukum syarak. Ikutlah adab-adab yang digariskan oleh agama kita. Mudah-mudahan kesan dari amalan ziarah yang kita lakukan itu dapat memberi keinsafan dan kesedaran kepada kita dengan sentiasa mengingati mati dan segera bertaubat kepada Allah Subhanahu Wata’ala. Di samping itu juga kita berharap penghuni kubur pula akan mendapat rahmat dari Allah Subhanahu Wata’ala dan mendapat ketenteraman serta terhindar dari seksa kubur dan azab api neraka. Amin Ya Rabbal’alamin.
Firman Allah Subhanahu Wata’ala dalam Surah Yunus ayat 25, tafsirnya : “Itulah dia kesudahan kehidupan dunia dan sebaliknya Allah menyeru manusia ke tempat kediaman yang selamat sentosa dan Dia sentiasa memberi petunjuk hidayah-Nya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya menurut undang-undang peraturanNya ke jalan yang betul lurus yang selamat.” \
Saturday, August 29, 2009
Manfaatkan kelebihanbulan Ramadan dengan sebaik-baiknya
Bulan Ramadan adalah penghulu segala bulan, bulan yang tinggi darjatnya dan besar martabatnya di sisi Allah Subhanahu Wata’ala. Sebagai umat Islam, kita wajib bersyukur kepada Allah Subhanahu Wata’ala kerana masih memberi kita peluang untuk melakukan ibadat puasa di bulan Ramadan yang Mubarak ini dan seterusnya melakukan ibadat-ibadat lain yang ganjaran pahalanya berlipat ganda di sisi Allah Subhanahu Wata’ala.
Puasa pada bulan Ramadan adalah Rukun Islam yang keempat yang wajib dilaksanakan oleh umat Islam yang telah cukup syarat-syaratnya. Puasa ialah menahan diri dari makan dan minum dan perkara-perkara yang membatalkan puasa, mulai dari terbit fajar sadiq sehingga terbenam matahari. Namun bagi mencapai kesempurnaan berpuasa kita hendaklah juga memelihara telinga, mata, lidah, tangan dan kaki serta anggota badan yang lain dari melakukan segala perbuatan maksiat.
Puasa hanya sah dilakukan jika ia disertai dengan niat berpuasa, waktu berniat puasa Ramadan itu ialah setelah terbenam matahari dan sebelum terbit fajar sadiq. Jika niat itu dilakukan setelah terbit fajar atau sebaya dengan terbit fajar, maka puasa itu tidak sah.
Manakala lafaz niat puasa itu ialah : “Sahaja aku berpuasa esok hari bulan Ramadan pada tahun ini kerana Allah Ta’ala.”
Dalam mengerjakan ibadat puasa, kita disunatkan bersahur, sahur adalah satu amalan yang digalakkan kepada mereka yang berpuasa. Adapun waktu bersahur bermula sebaik sahaja masuk waktu pertengahan malam dan berlarutan sehingga terbit fajar. Oleh yang demikian, orang yang makan sebelum masuk waktu pertengahan malam tidaklah dia dikatakan bersahur, bahkan ianya cuma makan biasa sahaja dan tidak ada baginya pahala sunat bersahur. Kita juga disunatkan melambatkan sahur sehingga hampir waktu fajar, iaitu kira-kira pada kadar membaca lima puluh atau enam puluh ayat sebelum fajar. Namun segelintir umat Islam mengambil ringan dan enggan bersahur dengan alasan mengantuk dan letih. Perlu diingat bahawa di sebalik bersahur itu ada keberkatannya, sebagaimana sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, maksudnya :
“Dari Abi Sa’id Al-Khudri Radiallahuanhu, telah bersabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam : Makan sahur itu berkat, oleh sebab itu jangan kamu meninggalkannya walaupun salah seorang daripada kamu hanya meneguk seteguk air. Maka sesungguhnya Allah dan Malaikat-Nya berselawat ke atas orang-orang yang bersahur.” ( Riwayat Al-Imam Ahmad).
Adapun keberkatan yang terdapat di sebalik bersahur itu di antaranya :
• Mengikut sunnah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam.• Memperolehi balasan dan ganjaran pahala daripada Allah Subhanahu Wata’ala.• Membezakan antara puasa orang Islam dengan puasa kaum lain.• Menghalang perbuatanperbuatan yang tidak sopan yang dipengaruhi oleh kesan berlapar di siang hari.• Memberi kekuatan untuk beribadat dan kecerdasan kepada orang yang berpuasa bagi menghadapi rasa lapar dan dahaga di siang hari.• Mengingatkan dan memberi peluang bagi orang yang terlupa melakukan niat puasa.
Mengenai makanan yang dimakan ketika bersahur biarlah sederhana, sesuai dengan kemampuan dan upaya masing-masing. Baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam sendiri menjelaskan bahawa dengan hanya seteguk air sudah memadai untuk mendapat berkat daripada bersahur. Jika terdapat buah kurma, maka itu adalah lebih baik kerana buah kurma itu adalah makanan sahur bagi orang-orang yang beriman.
Sebelum kita memulakan ibadat puasa, pada kelazimannya kita di Negara Brunei Darussalam akan terlebih dahulu merukyah (melihat anak bulan Ramadan). Begitu juga dengan penentuan Hari Raya Puasa dan Hari Raya Haji.
Dalam hal ini, terdapat di kalangan para ahli astronomi moden yang mempertikaikan bahawa permulaan puasa dan Hari Raya boleh ditetapkan dengan cara hisab atau hisab Falak sahaja kerana pengetahuan sains dan teknologi telah berada di puncak kemajuan dan kegemilangan. Sebenarnya pendapat seperti ini bukanlah pendapat yang baru, bahkan telah pernah disuarakan sejak zaman Ibnu Qhutyibah, Abu Al- Ab’bas bin Surai’j dan Mathraf. Dalam pada itu telah banyak persidangan mengenainya diadakan, akan tetapi amalan negara Islam keseluruhannya masih tetap berdasarkan rukyah (melihat anak bulan). Amalan merukyah anak bulan sudah menjadi syariat yang dianggap penting di kalangan negara-negara Islam. Ini menyebabkan sambutan awal Ramadan dan Hari Raya akan berlaku pada hari yang berlainan di kalangan negara-negara Islam. Ini adalah disebabkan anak bulan tidak kelihatan pada suatu tempat pada hari merukyah itu, walhal di tempat lain pula ia kelihatan.
Apa yang mendukacitakan, jika pihak yang dipertanggungjawabkan untuk merukyah anak bulan tidak berjaya melihatnya terutama apabila merukyah anak bulan Syawal, terdapat segelintir masyarakat kitani yang mempertikaikan serta tidak berpuas hati dengan hasil keputusan rukyah tersebut, sehingga timbul berbagai-bagai fitnah seperti mengatakan teropong yang digunakan itu rosak, malah ada juga yang berani mengatakan orang yang merukyah itu tidak jelas penglihatannya. Lebih buruk lagi terdapat juga orang yang cuba menghasut orang lain supaya tidak lagi berpuasa pada 30 Ramadan dengan alasan negara-negara jiran telah pun berhari raya pada hari tersebut.
Sedarlah wahai kaum Muslimin, perkara seumpama ini sepatutnya tidak berlaku, kerana sebagai rakyat dan penduduk yang tinggal dalam sebuah negara yang berdaulat dan mempunyai ketua negara iaitu raja, kita hendaklah akur dan patuh dengan ketetapan dan titah perkenan raja sebagai Ulil Amri. Bukankah Allah Subhanahu Wata'ala memerintahkan hamba-Nya supaya mentaati Ulil Amri, sebagaimana firman-Nya dalam Surah An Nisaa’ ayat 59, tafsirnya :
“Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada Ulil Amri (orang-orang yang berkuasa di kalangan kamu). Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada kitab Allah (Al-Qur’an) dan Sunnah Rasul-Nya, jika kamu benar beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, yang demikian adalah lebih baik bagi kamu dan lebih elok pula kesudahannya.”
Dengan kedatangan bulan Ramadan ini, kita rebutlah peluang yang ada dan memanfaatkannya dengan sebaik-baiknya, kita hendaklah menumpukan dan mempertingkatkan diri untuk beribadat kepada Allah Subhanahu Wata’ala sebanyak-banyaknya dengan berzikir, membaca Al-Qur’an, mengerjakan sembahyang - sembahyang sunat dan sebagainya ter- utama Sembahyang Sunat Tarawih dan Sunat Witir yang amat dituntut dan afdal dilakukan secara berjemaah. Mudah-mudahan latihan-latihan dan amalan- amalan yang kita lakukan di bulan Ramadan itu akan diteruskan juga di bulan- bulan lain.
Firman Allah Subhanahu Wata’ala dalam Surah Al Baqarah ayat 183, tafsirnya :
“Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa.”
Wednesday, August 19, 2009
RAMADAN YANG DIRINDUI
SETIAP umat Islam di seluruh dunia pasti akan merindui dan merasai ketibaan bulan yang penuh dengan berkah iaitu bulan Ramadan. Bermula sejak dari bulan Rejab sehinggalah bulan Syaaban, ramai di kalangan umat Islam sudah pun mempersiapkan diri untuk menyambut kehadiran Ramadan Al-Mubarak. Ada yang memperbanyakkan amalan dengan berpuasa sunat di kedua-dua bulan tersebut, di samping amal ibadat yang lain untuk seterusnya menjadikan suatu dorongan buat diri sendiri untuk lebih memperbanyakkan amalan di bulan Ramadan.
Bulan Ramadan hadir dengan seribu satu pengertian. Ia hadir setiap tahun dengan pelbagai kelainan. Setiap bulan Ramadan, kenikmatannya pasti berbeza kerana Allah Subhanahu Wata'ala Maha Kaya dan anugerah-Nya tiada bandingannya. Namun terdapat sebilangan manusia mempunyai tanggapan dan persepsi serta perasaan yang berbeza apabila menjelang bulan Ramadan. Ada yang pertama sekali dalam fikiran mereka adalah 'lapar'. Ada juga apabila Ramadan tiba, apa yang paling difikirkan ialah 'penat' dan ada juga memikirkan 'bilakah Ramadan ini akan berakhir?' Golongan yang membuat fikiran ini tergolong dari orang-orang yang rugi dan tidak dapat keberkatan di bulan Ramadan.
Namun bagi golongan yang benar-benar mengerti nilai kehambaan diri mereka kepada Allah Subhanahu Wata'ala, apa yang mereka fikirkan ialah 'bagaimana untuk mencapai keredaan dan keberkatan Allah Subhanahu Wata'ala sempena berada di bulan Ramadan yang penuh dengan kerahmatan ini?' Inilah satu kunci kejayaan orang-orang yang akan mendapat kelebihan di bulan Ramadan.
Bulan Ramadan adalah bulan di mana nilai amal ibadah dilipatgandakan. Amalan puasa di siang harinya sangat berkait rapat dengan kesabaran kerana ganjaran bagi orang yang bersabar tiada terhitung banyaknya. Pahala amalannya dilipatgandakan sebanyak-banyaknya tidak seperti amalan-amalan lain.
Amalan puasa bukan sahaja suatu amalan yang tersendiri di bulan itu, tetapi juga diiringi dengan amalan Sembahyang Sunat Tarawih setiap malam di bulan tersebut. Kenikmatan lebih berganda jika ibadah puasa disertai dengan Sembahyang Sunat Tarawih di malamnya kerana gandingan tersebut, di samping mendapat ganjaran yang berlipat ganda, boleh membina sebuah kitaran kehidupan yang penuh dengan santapan kerohanian.
Bahkan, anak-anak juga mudah dididik untuk menunaikan Sembahyang Sunat Tarawih serta berpuasa di bulan Ramadan sekadar kemampuan mereka. Kanak-kanak akan sentiasa ingin mengikuti ayahnya pergi ke masjid untuk Sembahyang Sunat Tarawih kerana rakan-rakannya juga turut berada menunaikan Sembahyang Sunat Tarawih di masjid tersebut. Begitu juga dengan puasa di siang hari, di mana suasana masyarakat Islam yang sibuk berpuasa menyebabkan anak-anak juga rasa terpanggil untuk turut berpuasa bersama-sama seluruh umat Islam, kerana antara tabiat seorang kanak-kanak itu sendiri adalah suka mengikut suasana itu sendiri dan mudah meniru apa yang dilakukan oleh orang dewasa.
Jadi, amat malang juga bagi ibu bapa yang tidak mengambil peluang sempena di bulan Ramadan yang mulia ini, untuk mentarbiah anak-anak mereka ke arah melakukan ketaatan dan amal ibadah, sedangkan suasana ibadah di bulan Ramadan itu sendiri boleh membantu memberi motivasi kepada kanak-kanak dalam ketaatan.
Walau bagaimanapun, masih ramai dari kalangan umat Islam itu sendiri tidak mempunyai hubungan rapat dengan bulan Ramadan. Mereka tidak menghayati kedatangan bulan tersebut dengan penghayatan yang tinggi, padahal bulan Ramadan hadir sebagai peluang baginya untuk memperbaiki dirinya dan hubungannya dengan Tuhannya. Antara faktor-faktor yang boleh menguatkan ikatan hati kita dengan bulan Ramadan adalah niat kita, matlamat kita, tujuan kita, hajat kita yang kita inginkan sempena kehadiran bulan Ramadan.
Ada sebilangan orang bila datangnya Ramadan, hajatnya tidak lain melainkan untuk mendapatkan bulan Syawal, iaitu Hari Raya. Itulah orang yang paling malang kerana tiada makna Hari Raya tersebut baginya kerana Hari Raya adalah hari kemenangan bagi orang-orang yang berpuasa penuh dan melakukan amal ibadah di bulan Ramadan.
Di antara kemanisan dalam bulan Ramadan, seseorang hamba boleh menyatukan kehendaknya dengan kehendak Tuhannya. Di bulan Ramadan ini, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam banyak menjelaskan bahawasanya Allah Subhanahu Wata'ala ingin mengampuni dosa-dosa hamba-Nya. Oleh yang demikian, jika kita banyak bertaubat dan meminta ampun kepada-Nya, maka secara tidak langsung kehendak kita seiring dengan kehendak-Nya yang ingin mengampuni kita. Di situlah antara adab tertinggi kehambaan jika kita mengerti rahsia pengabdian diri kepada-Nya.
Banyakkanlah juga mengamalkan membaca Al-Qur'an dengan menggandakan bacaan berbanding dengan bulan-bulan biasa kerana bulan Ramadan adalah bulan peluang di mana suasana beribadah itu sangat menjadi penyokong kepada seseorang Muslim untuk terus melakukan ketaatan. Tidur seseorang yang berpuasa itu ibadah adalah ungkapan motivasi bagi seorang Muslim yang sering disalahertikan. Seharusnya yang kita fahami daripada ungkapan tersebut, tidur bagi seseorang yang berpuasa pun ibadah, apatah lagi melakukan ibadah itu sendiri. Maka ia adalah ibadah dalam ibadah. Ia suatu yang tidak dapat dicapai melainkan hanya di bulan Ramadan. Oleh yang demikian, banyakkanlah melakukan amalan ibadah terutamanya membaca Al-Qur'an kerana ianya merupakan antara sunnah Baginda Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam. Dengan banyak membaca Al-Qur'an di bulan Ramadan jugalah, ikatan hati seseorang dengan bulan Ramadan akan bertambah kuat kerana bulan Ramadan itu sendiri adalah bulan Al-Qur'an atau bulan turunnya Al-Qur'an. Maka eratkanlah lagi hubungan kita dengan bulan Ramadan melalui bacaan dan hafalan Al-Qur'an serta mendalami makna-maknanya. Barakah dan kunci kejayaan seseorang dalam bulan Ramadan Al-Mubarak ada pada kuatnya hubungannya dengan bulan Ramadan dalam rangka untuk meningkatkan hubungannya dengan Tuhannya.
Baca doa dengan beradab
“Dan Tuhanmu berfirman : Berdoalah kamu kepada-Ku nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu.”
Doa adalah sangat penting dalam kehidupan umat Islam. Ia adalah senjata bagi orang yang beriman, sebagai tiang agama dan cahaya tujuh petala langit dan bumi. Doa juga adalah ibadat, kerana di mana kita berdoa dan pada waktu apa kita berdoa kita adalah beribadat kepada Allah Subhanahu Wata’ala. Allah Subhanahu Wata’ala memerintahkan hamba-hamba-Nya supaya berdoa dan memohon kepada-Nya. Begitu juga Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang banyak berpesan supaya kita sentiasa berdoa.
Sesungguhnya doa mempunyai kelebihan dan fadhilat yang amat banyak, di mana melalui doa, keampunan dan rahmat akan diperolehi, manakala musibah dan kesusahan boleh terhindar kerana jika Allah Subhanahu Wata’ala menghendaki dan memperkenankan doa hamba-Nya, tidak ada satu pun yang dapat menghalang, kerana Allah Subhanahu Wata’ala tidak akan mensia-siakan doa hamba-Nya yang penuh dengan keikhlasan. Ketahuilah bahawa berdoa juga boleh menghindarkan sesuatu bala, walaupun bala itu sudah merupakan qada' dan qadar (ketentuan Allah Subhanahu Wata’ala). Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam ada menjelaskan dalam hadis Baginda, maksudnya :
“Dari Sulaiman katanya: Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda : Tiada yang boleh menolak qada' Allah kecuali doa dan tiada yang boleh menambah umur kecuali dengan berbuat amal kebajikan.” (Riwayat Al-Imam At Tirmidzi).
Doa itu sangat mulia dan tinggi nilainya. Untuk mendapatkan doa yang mustajab, umat Islam dituntut membacanya dengan beradab. Di antara adab tersebut ialah orang yang berdoa hendaklah dalam keadaan berwuduk, mengadap kiblat, memulakan dan mengakhiri doa dengan menyebut dan memuji nama Allah Subhanahu Wata’ala serta memberi selawat dan salam kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam. Berdoalah dengan rendah hati, khusyuk dan tawaduk kepada Allah Subhanahu Wata’ala. Dan adalah lebih afdal diulang-ulang doa tersebut sebanyak tiga kali. Dalam kita berdoa hendaklah dengan penuh keyakinan bahawa doa tersebut akan diperkenankan. Jangan mudah berputus asa ataupun terburu-buru mengharapkan supaya doanya cepat dimakbulkan kerana perbuatan demikian akan mengakibatkan doanya tidak diperkenankan. Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, maksudnya:
“Dari Abi Hurairah Radiallahuanhu, bahawa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda: Doa seseorang akan dikabulkan oleh Allah selama dia tidak terburu-buru, hingga dia mengatakan, saya sudah berdoa tetapi belum juga dikabulkan.” (Riwayat Al- Imam Al-Bukhari).
Di samping itu terdapat juga beberapa tempat dan waktu, jika kita berdoa pada-Nya, doa akan mudah dan cepat dimakbulkan. Antaranya ialah berdoa dan memohon kepada Allah Subhanahu Wata’ala pada satu pertiga akhir waktu malam dan selepas menunaikan sembahyang fardu. Selain itu, perbanyakkanlah berdoa pada malam Jumaat dan hari Jumaat, waktu di antara azan dan iqamah, ketika khatib duduk di antara dua khutbah, ketika sujud di dalam sembahyang, dalam bulan Ramadan, pada Malam Lailatulqadar, Hari Arafah dan ketika mendengar kokokkan ayam kerana pada ketika itu ayam sedang melihat malaikat dan kita mengharap agar malaikat mengaminkan doa kita. Begitu juga ketika minum air zamzam, ketika membaca Al-Qur’an terutama apabila khatam. Mengikut para ulama bahawa berdoa di tempat yang mulia seperti di Masjidilharam, Masjid Nabawi dan Masjidilaqsa adalah mustajab memandangkan keberkatan dan kemuliaannya, di samping rahmat Allah Subhanahu Wata’ala yang luas di masjid berkenaan.
Berdoa bukanlah hanya untuk diri sendiri sahaja, tetapi kita juga dituntut mendoakan orang lain terutamanya ibu bapa, anak-anak, ahli keluarga, saudara-mara, Muslimin dan Muslimat sama ada yang masih hidup atau yang telah meninggal dunia. Di samping itu, ibu bapa adalah orang yang paling utama didoakan oleh anak-anak sebagai membalas jasa kerana memelihara dan mendidik di waktu kecil. Sesungguhnya doa anak-anak kepada kedua ibu bapanya adalah besar manfaatnya, lebih-lebih lagi apabila keduanya telah meninggal dunia. Begitulah halnya dengan ibu bapa, digalakkan supaya mendoakan anak-anak mereka seperti mana Nabi Ibrahim Alaihissalam mendoakan anaknya sebagaimana firman Allah Subhanahu Wata’ala dalam Surah Ash-Shaaffat ayat 100, tafsir-Nya:
“Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku anak yang tergolong dari orang-orang yang salih.”
Sesungguhnya setiap doa yang tulus ikhlas kepada Allah Subhanahu Wata’ala dijamin akan dimakbulkan oleh Allah Subhanahu Wata’ala, tidak kira cepat atau lambat doa itu dimakbulkan, apa yang penting kita telah berusaha dan mengharap semoga apa yang dipohonkan dan dihajati akan diterima Allah Subhanahu Wata’ala. Namun terdapat segelintir dari kita yang enggan atau malas berdoa kepada Allah Subhanahu Wata’ala. Ketahuilah bahawa orang yang tidak berdoa adalah orang yang sombong kepada Allah Subhanahu Wata’ala.
Sebagai orang Islam, marilah sama-sama kita memperbanyakkan doa, kerana doa itu menunjukkan kita taat dan ingat kepada Allah Subhanahu Wata’ala, lebih-lebih lagi dengan datangnya bulan Ramadan Al-Mubarak yang mulia ini di mana doa mudah dimustajabkan. Berdoalah di setiap masa baik di kala senang mahupun susah, di kala kaya atau- pun miskin. Percayalah janji Allah Subhanahu Wata’ala sebagaimana maksud firman-Nya :
“Berdoalah kamu kepada-Ku nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu.”
Firman Allah Subhanahu Wata’ala dalam Surah Al Baqarah ayat 186, tafsir-Nya : “Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu mengenai-Ku maka beritahu kepada mereka: Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir kepada mereka. Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepada-Ku. Maka hendaklah mereka menyahut seruan-Ku dengan mematuhi perintah-Ku dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku supaya mereka menjadi baik serta betul.”
Thursday, August 6, 2009
JEREBU
Negara kita kini mengalami Jerebu yang membawa kepada kualiti udara yang kurang sihat maka kepada semua tingkatkan kewaspada kita untuk sama-sama menjaga kesihatan masing-masing.
Belia menjadi tunggak kekuatan negara
Dalam membangun dan memajukan negara, kita memerlukan kepada sumber tenaga manusia yang berkualiti dan berkemahiran tinggi. Antara sumber tenaga manusia yang sangat berharga bagi negara adalah golongan belia. Belia adalah salah satu aset negara yang sangat berharga, merekalah yang akan menjadi tunggak kekuatan negara sebagai pewaris kepimpinan di masa hadapan, mereka perlu diasuh, dididik dan dibimbing di jalan yang betul agar menjadi generasi berilmu, beriman, beramal, bertaqwa dan berakhlak mulia, kerana dengan demikian sahajalah akan dapat melahirkan belia yang menjadi sumber tenaga yang mampu menyumbang ke arah pembangunan dan kemajuan negara.
Menurut Profesor Dr. Yusuf Al-Qardhawi : “Apabila kita hendak melihat wajah negara pada masa hadapan, lihatlah kepada generasi mudanya pada hari ini, jika golongan muda pada hari ini terdiri daripada kalangan yang berakhlak dan berhemah tinggi, setentunya negara pada masa hadapan menjadi sebuah negara yang aman makmur ‘Baldatun Tayyibatun Warabbun Ghaffur’, tetapi jika keadaan sebaliknya berlaku, maka bersedialah untuk berhadapan dengan perkara-perkara yang buruk yang berkemungkinan akan berlaku.” Oleh itu belia sepatutnya sanggup memikul tanggungjawab dan menanai amanah yang diberikan dengan jujur dan ikhlas sesuai dengan kata-kata yang berbunyi ‘Pemuda Harapan Bangsa Pemudi Tiang Negara’.
Peranan golongan belia juga disebut di dalam Al-Qur’an sebagaimana kisah Ashabulkahfi iaitu golongan muda belia yang bersikap berani mempertahankan aqidah daripada seorang raja yang zalim. Firman Allah Subhanahu Wata’ala di dalam Surah Al Kahfi ayat 13 hingga 14, tafsirnya :
“Kami ceritakan kepadamu wahai Muhammad perihal mereka dengan benar, sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka dan Kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk. Dan Kami kuatkan hati mereka dengan kesabaran dan keberanian. Semasa mereka bangun (menegaskan tauhid) lalu berkata : Tuhan kami ialah Tuhan yang mencipta dan mentadbirkan langit dan bumi. Kami tidak sekali- kali akan menyembah Tuhan yang lain daripada-Nya. Jika kami menyembah yang lainnya bermakna kami memperkatakan dan mengakui sesuatu yang jauh dari kebenaran.”
Islam telah menggariskan peranan dan tanggungjawab yang mesti dilaksanakan sebagai seorang belia Muslim yang beriman, di antaranya ialah taat kepada Allah Subhanahu Wata’ala dan Rasul-Nya iaitu mencintai Allah Subhanahu Wata’ala lebih dari segala-galanya yang dibuktikan dengan beriman kepada Allah Subhanahu Wata’ala, beribadat kepada-Nya serta melaksanakan segala perintah- Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Dan taat kepada Rasul pula ialah mentaati segala perintah-Nya, mengasihi dan memuliakan Baginda serta mengikut jejak langkah Baginda dalam setiap cara hidup, baik urusan dunia mahupun agama termasuklah dalam mencontohi keperibadian dan akhlak Baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam.
Selain daripada itu, para belia juga adalah bertanggungjawab untuk mentaati raja dengan mematuhi titah perintahnya selagi yang diperintahkan tidak bertentangan dengan ajaran agama Islam. Di samping itu, keprihatinan terhadap kedua ibu bapa amatlah dititikberatkan dalam Islam, iaitu dengan mematuhi dan mentaati serta menjaga kemaslahatan dan kebajikan kedua mereka. Kita juga dituntut untuk berbakti, mengasihi, menghormati serta sentiasa menyenangkan hati kedua ibu bapa dengan tingkah laku dan tutur kata yang lemah lembut dan bersopan. Sentiasalah berdoa untuk kesejahteraan mereka walaupun setelah mereka meninggal dunia. Allah Subhanahu Wata’ala berfirman dalam Surah Al Israa’ ayat 23, tafsirnya :
“Dan Tuhanmu telah perintahkan supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata- mata dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa.”
Untuk melahirkan belia yang berjaya bukanlah satu perkara yang mudah, kerana ia terpulang kepada kemahuan belia itu sendiri, di antaranya ialah dengan menanamkan sikap rajin berusaha dan mampu untuk berdikari tanpa mengharapkan sokongan dan bantuan dari orang lain. Jika ramai belia yang bersikap sedemikian sudah setentunya sedikit sebanyak akan dapat mengatasi masalah pengangguran di negara ini.
Oleh itu belia yang masih belum mempunyai pekerjaan perlu ada usaha untuk berdikari menurut kemahiran dan pengalaman yang ada pada mereka, contohnya dalam bidang perniagaan, pertanian, perikanan, pelancongan, pertukangan kraf tangan dari logam, kayu, kain dan seumpamanya. Apa yang penting mesti ada keberanian mencuba tanpa merasa malu walaupun secara sederhana ataupun kecil- kecilan dahulu kerana sesuatu kejayaan tidak akan datang sekelip mata.
Selain itu, terdapat juga beberapa pekerjaan yang tidak memerlukan modal kewangan untuk memulakan sesuatu usaha, hanya berbekalkan ilmu, bakat, kemahiran dan pengalaman, contohnya melalui kefasihan bercakap boleh digunakan untuk meraih pendapatan umpamanya sebagai pengacara, penceramah, pakar motivasi dan lain-lain.
Apa yang penting untuk menjadi belia yang berkualiti mestilah ada kesungguhan dan ketekunan. Jadilah diri sebagai belia yang bertanggungjawab dan berguna kepada agama, bangsa dan negara. Sama-samalah kita berdoa semoga Allah Subhanahu Wata’ala sentiasa memberi taufiq dan hidayah-Nya kepada kita semua, khususnya golongan belia agar belia negara kita ini mempunyai keperibadian yang kukuh dan mampu berdikari serta sentiasa bergerak ke arah usaha membangun ummah dan negara yang cemerlang serta sentiasa berada di landasan yang benar dan diredai Allah Subhanahu Wata’ala. Amin Ya Rabbal'alamin.
Firman Allah Subhanahu Wata’ala dalam Surah An Nahl ayat 97, tafsirnya : “Sesiapa yang beramal soleh, dari lelaki atau perempuan, sedang ia beriman, maka sesungguhnya Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik dan sesungguhnya Kami akan membalas mereka dengan memberikan pahala yang lebih baik dari apa yang mereka telah kerjakan.”
Monday, August 3, 2009
BACK 2 SCHOOL
Wednesday, July 29, 2009
Kelebihan bulan Syaaban
Jika bulan Rejab dikaitkan dengan Peristiwa Israk Mikraj yang dialami Baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, bulan Syaaban diingati dengan kehadiran Malam Nisfu Syaaban pada 15 Syaaban setiap tahun Hijrah. Meskipun tiada sumber yang sahih tentang pertukaran buku amalan manusia pada malam tersebut (bahawa buku amalan pada tahun lepas akan dinaikkan ke langit dan buku baru akan dibuka pada malam tersebut), namun telah menjadi amalan umat Islam untuk membaca Surah Yaa Siin sebanyak tiga kali dengan niat yang berlainan bagi setiap satu bacaan.
Bulan Rejab, Syaaban dan Ramadan adalah peluang untuk umat Islam memperbaiki dan mempertingkatkan amalan di dalam menjalani kehidupan dan terpulanglah kepada kita untuk mengambil kesempatan yang hadir hanya sekali setiap tahun ini, atau membiarkan ianya berlalu dalam kehidupan kita tanpa sebarang perubahan.
Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam telah bersabda yang bermaksud:
"Apabila masuk bulan Syaaban, baikkanlah niatmu pada-Nya, kerana kelebihan Syaaban atas segala bulan seperti kelebihan-Ku atas kamu.
Barang siapa berpuasa sehari pada bulan Syaaban, diharamkan Allah tubuhnya dari api neraka. Dia akan menjadi tauladan Nabi Yusuf Alaihissalam di dalam Syurga. Diberi pahala oleh Allah seperti pahala Nabi Ayub Alaihissalam dan Nabi Daud Alaihissalam. Jika dia sempurnakan puasanya sebulan di bulan Syaaban, dimudahkan Allah atasnya Sakratulmaut dan ditolakkan (terlepas) daripadanya kegelapan di dalam kubur, dilepaskan daripada hira-hara Munkar dan Nankir, ditutup Allah keaibannya di Hari Kiamat dan diwajibkan Syurga baginya.
Syaaban adalah bulan-Ku dan Ramadan adalah bulan umat-Ku. Syaaban ialah mengkifaratkan (menghapuskan) dosa dan Ramadan ialah menyucikan dosa (jasmani dan rohani).
Dinamakan Syaaban kerana padanya terdapat kebajikan yang amat banyak dan puasa yang lebih afdal sesudah Ramadan ialah puasa bulan Syaaban. Pengertian Syaaban : Kemuliaan, Ketinggian, Kebajikan, Jinak dan Cahaya.
Bahawa kelebihan Rejab atas bulan-bulan yang lainnya seperti kelebihan Al-Qur'an atas segala kalam. Kelebihan Syaaban atas bulan-bulan yang lainnya seperti kelebihanKu atas segala Anbiya' (Nabi-nabi). Kelebihan Ramadan atas bulan-bulan yang lain seperti kelebihan Allah atas sekalian makhluk-Nya."
Bulan Syaaban, keagungan malamnya dengan Nisfu Syaaban seperti keagungan Ramadan dengan Lailatulqadarnya. Maka pada Malam Nisfu Syaaban telah datang Malaikat Jibril kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam lalu katanya : "Angkat kepalamu ke langit, itulah malam yang Allah padanya tiga ratus rahmat dan diampunkan Allah sekalian orang yang menyekutukan (syirik) dengan-Nya sesuatu kecuali tukang nujum, kekal dalam zina, kekal minum arak, derhaka terhadap ibu bapa. Allah menjelaskan kepada hamba-Nya pada Malam Nisfu Syaaban maka diampunkan dosa segala makhlukNya melainkan orang syirik dan orang yang tidak bertutur dengan saudaranya."
Disebutkan di dalam Kitab Iqna' bahawa Malaikat Jibril bersungguh-sungguh pada Malam Nisfu Syaaban menunaikan segala hajat. Maka datanglah Jibril kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam. Kali keduanya katanya : "Ya Muhammad! Gembirakanlah kamu bahawa Allah Subhanahu Wata'ala telah mengampunkan segala umatmu orang yang tidak menyekutukan-Nya sesuatu, angkatkan kepalamu, lalu Rasulullah mengangkatkan kepalanya, tiba-tiba terbuka segala pintu Syurga."
Malam Nisfu Syaaban adalah Hari Raya bagi para malaikat, begitu juga pada Malam Lailatulqadar mereka tidak tidur, dipenuhi dengan amal dan ibadat sepanjang malamnya. Dan bagi anak-anak Adam berhari raya pada siang hari dengan berpuasa dan ibadat, kerana mereka tidur pada malamnya.
Allah tidak akan mengampunkan dosa pada Malam Nisfu Syaaban enam orang :
1. Orang yang kekal minum arak.
3. Orang yang kekal dalam zina.
4. Orang yang banyakberkelahi.
5. Orang yang melakukan perjualan dengan sumpah yang dusta.
6. Orang yang memperlagakan orang supaya berkelahi.
Pada Malam Nisfu Syaaban setelah berlalu 1/3 malamnya, Allah turunkan ke langit dunia lalu berfirman yang bermaksud : "Adakah orang-orang yang meminta maka Aku perkenankan permintaannya, adakah orang yang meminta ampun maka Aku ampunkannya, adakah orang bertaubat maka Aku taubatkannya dan diampunkan bagi sekalian orang mukmin lelaki dan perempuan melainkan orang yang berzina atau orang yang berdendam marah hatinya kepada saudaranya."
Islam mahu melahirkan umat yang berkualiti dalam ibadat, masa dan pekerjaan yang mana ia tidak menyuruh kita sekadar menunaikan ibadat khusus seperti sembahyang, puasa dan bersedekah sahaja tetapi juga menekankan agar setiap ibadat yang dilakukan mampu melahirkan umat yang sedar siapa mereka dan apa tanggungjawab mereka. Ingatlah bahawa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam pernah memarahi sahabat yang hanya mahu beribadat khusus sahaja sedangkan Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam sendiri bukan sahaja merupakan orang yang kuat beribadat khusus, memohon keampunan malah Baginda juga sebagai bapa, suami, ahli masyarakat dan juga yang paling besar dan berat adalah sebagai pemimpin negara. Semuanya dikira ibadat jika dilakukan mengikut landasan Islam. Kita jangan termakan dengan dakyah sesat golongan kafir yang menyatakan ibadat adalah perkara yang berkaitan dengan sembahyang, puasa, haji dan ibadat khusus yang lain sahaja tanpa mempedulikan kewajipan kita yang besar seperti tanggungjawab terhadap kerja, keluarga, masyarakat setempat dan juga pemerintahan negara.
Hindari penyakit dengan menitikberatkan kebersihan
Sesungguhnya nikmat yang dikurniakan Allah Subhanahu Wata’ala kepada kita amat banyak. Salah satu nikmat yang amat berharga ialah sihat tubuh badan. Kesihatan adalah faktor yang amat penting dan merupakan rahmat Allah Subhanahu Wata’ala yang diharapkan oleh hamba-hamba-Nya kerana kesihatan adalah punca kebahagiaan dan kesenangan. Kerana itu kita patut bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala jika dianugerahkan tubuh badan yang sihat. Kadang-kadang ada di antara kita yang lupa untuk menghargai kesihatan yang kita miliki, apabila telah jatuh sakit barulah sedar dan merasakan betapa nikmatnya sihat itu.
Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda dalam hadis Baginda, maksudnya :
“Dari Ibnu A’bbas Radiallahuanhuma katanya : Telah bersabda Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam : Dua nikmat yang kebanyakan orang sering terpedaya olehnya ialah kesihatan dan masa lapang.” (Riwayat Al-Imam Al-Bukhari).
Begitu juga kata-kata hikmat ada menyatakan : “Kesihatan itu ibarat mahkota di atas kepala orang yang sakit ia tidak akan diketahui melainkan oleh orang-orang yang dalam keadaan sakit.”
Memandangkan betapa berharganya kesihatan itu pada kita, maka sewajarnyalah kita berusaha menjaga dengan sebaik-baiknya. Dalam usaha menjaga dan menghindarkan diri dari terkena penyakit, kita perlulah menitikberatkan kebersihan dan penjagaan dalam semua hal. Kerana itulah Islam awal-awal lagi memberikan peringatan kepada umatnya supaya jangan melakukan perkara-perkara yang boleh mendatangkan kemudaratan kepada akal dan tubuh badan serta mengharamkan semua makanan dan minuman yang boleh membinasakan dan membahayakan manusia seperti bangkai, arak, babi, rokok dan penyalahgunaan dadah.
Allah Subhanahu Wata’ala berfirman dalam Surah Al Maa-idah ayat 3, tafsirnya :
“Diharamkan kepada kamu memakan bangkai binatang yang tidak disembelih dan darah yang keluar mengalir dan daging babi.”
Sememangnya Allah Subhanahu Wata’ala mengharamkan sesuatu perkara itu ada hikmat di sebaliknya, contohnya Allah Subhanahu Wata’ala mengharamkan babi adalah untuk menjaga maslahat, nyawa dan kehidupan manusia dari kerosakan. Para saintis juga telah membuktikan betapa bahayanya babi, di mana hasil kejayaan mereka mendapati bahawa memakan daging babi menyebabkan seseorang boleh dihinggapi 70 jenis penyakit.
Seperti yang kita maklum, wabak penyakit Influenza A H1N1 yang sedang melanda negara pada masa ini adalah berpunca pada asalnya dari binatang babi. Maka sudah terbuktilah bahawa Allah Subhanahu Wata’ala mengharamkan sesuatu itu ada kebaikan di sebaliknya. Janganlah kita cuba untuk mempertikaikan tentang hukum Allah Subhanahu Wata’ala.
Dalam kita menghadapi wabak penyakit Influenza A H1N1 ini, apakah cara dan langkah terbaik untuk kita memahami ujian ini sekali gus untuk kita menghadapinya? Apabila diuji dengan sesuatu penyakit, maka selaku seorang Muslim yang beriman, perkara yang utama yang perlu dilakukan ialah muhasabah diri, mengingati dan menghitung kembali kesalahan atau dosa yang telah dilakukan, maka apabila ditimpa dengan sedikit ujian itu, wajarlah kita bersabar dan menerimanya dengan reda tanpa sebarang keluhan atau rintihan, jauh sekali menyalahkan qadak dan qadar Allah Subhanahu Wata’ala, setentunya Allah Subhanahu Wata’ala Maha Mengetahui akan rahsia dan hikmat di sebalik ujian tersebut.
Di samping bersabar, kita juga disuruh supaya berusaha dengan mengambil langkah pengawasan diri daripada terkena sebarang penyakit seperti menjaga kebersihan diri dan menjauhi apa jua yang menjadi punca kepada penularan penyakit. Sememangnya perkara menjaga kebersihan ini telah dititikberatkan oleh ajaran agama Islam, sebagaimana firman Allah Subhanahu Wata’ala dalam Surah At Taubah ayat 108, tafsirnya :
“Dan Allah mengasihi orang-orang yang membersihkan diri mereka (zahir dan batin).”
Dan sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, maksudnya :
“Dari Abi Malik Al-Asy’ari berkata : Telah bersabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam : Kebersihan itu sebahagian dari iman.” (Riwayat Al- Imam Muslim).
Selain daripada itu, sebagai orang Islam, senjata yang paling berkesan bagi kita menangani perkara ini ialah dengan memperbanyakkan ibadat, zikir dan doa. Kita juga hendaklah memperbanyakkan istigh- far dan sentiasa memohon keampunan agar dosa-dosa yang telah dilakukan diampunkan oleh Allah Subhanahu Wata’ala.
Menurut Qatadah Rahimahullah : “Al-Qur’an menunjukkan kepada kamu tentang penyakit bagi kamu dan penyembuh (ubat) bagi kamu. Adapun penyakit bagi kamu adalah dosa dan penyembuh (ubat) bagi kamu adalah istighfar.”
Sayidina Ali Radiallahuanhu juga ada berkata : “Satu keajaiban pada siapa yang binasa kerana dosa, namun bersamanya penyelamat.” Ditanyakan kepadanya, “Apakah dia penyelamat itu?” Beliau menjawab : “Istighfar.”
Di samping itu hendaklah kita bertekad dan bersungguh-sungguh meninggalkan maksiat dan kesalahan yang mengundang bencana dan kemurkaan Allah Subhanahu Wata’ala. Alhamdulillah, sejauh ini kita telah berusaha dengan menunaikan Sembahyang Sunat Hajat, membaca Qunut Nazilah, membanyakkan membaca Al-Qur’an, berzikir dan membaca doa-doa tertentu dan sebagainya. Maka kita teruskan dan tingkatkan lagi usaha itu sama ada secara berjemaah atau bersendirian. Dalam mengerjakan secara berjemaah di masjid, adalah lebih elok kita datang beramai-ramai lebih awal ke masjid dan membawa anak-anak dan keluarga bagi sama-sama mengerjakan Sembahyang Sunat Hajat dan membaca Qunut Nazilah. Setelah kita berusaha dan berdoa, kita hendaklah bertawakal dengan menyerahkan segala urusan kepada apa jua ketentuan dan kehendak Allah Subhanahu Wata’ala.
Sememangnya kita disunatkan membaca Qunut Nazilah apabila ditimpa musibah seperti diserang wabak, kemarau, dizalimi oleh orang-orang kafir dan seumpamanya agar kita dilindungi oleh Allah Subhanahu Wata’ala. Perkara ini pernah dilakukan oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam di mana pada tahun Keempat Hijrah, seramai 70 orang qura’ dan penghafaz Al-Qur’an dari golongan sahabat Nabi telah terbunuh kerana dianiaya oleh kaum Musyrikin di Telaga Ma’unah (satu tempat yang terletak di antara Mekah dan Uthsfan). Maka Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam berdoa kepada Allah Subhanahu Wata’ala (membaca qunut) pada tiap-tiap sembahyang fardu lima waktu selama satu bulan.
Sesungguhnya terdapat banyak doa, wirid, zikir dan selawat yang boleh diamalkan ketika ditimpa musibah, antaranya seperti membaca :
Beristighfar (sekurang- kurangnya membaca)
Membaca selawat Tafrijiah dan sebagainya.
Dalam menghadapi wabak penyakit ini, ikutilah seranan dan nasihat-nasihat yang telah diberikan. Di samping itu kita muhasabah diri, mengingati dan menghitung kembali kesalahan dan dosa yang telah dilakukan. Banyakkanlah berdoa dan beristighfar memohon keampunan ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala.
Akhirnya sama-samalah kita berdoa dan memohon hidayah serta rahmat dari Allah Subhanahu Wata’ala semoga wabak penyakit ini akan segera berakhir dan semoga diri kita, ahli keluarga kita serta seluruh rakyat dan penduduk negara ini mendapat perlindungan Allah Subhanahu Wata’ala dan selamat dari segala wabak penyakit dan bala bencana. Amin Ya Rabbal'alamin.
Firman Allah Subhanahu Wata’ala dalam Surah Al Baqarah ayat 214, tafsirnya :
“Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk Syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan harta benda) dan serangan penyakit serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersertanya, bilakah (datangnya) pertolongan Allah? Ketahuilah, sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada agama Allah).
Tuesday, July 28, 2009
MALAM RAMADHAN
“Sesiapa yang bangun malam bersembahyang pada bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharap (keredhaan Allah), dosanya akan diampunkan”
Solat Tarawih adalah “tetamu” Ramadhan
Solat tarawih hanya disunatkan pada bulan Ramadhan. Solat tarawih dipakejkan bersama Ramadhan tidak pada bulan lain. Para ulama berpendapat yang dimaksudkan “bangun sembahyang pada malam Ramadhan” di dalam Hadis di atas ialah solat tarawih. Olah itu, hiasilah malam Ramadhan dengan tarawih serta penuh rasa iman dan mengharap. Moga-moga kita diampunkan Allah.
Sebagai remaja yang masih muda dan sihat maka sepatutnya Ramadhan ini menjadi peluang untuk membanyakkan amal soleh. Bukannya dengan membuang masa secara sia-sia.
“Pada setiap malam iaitu ketika sepertiga malam pertama berlalu, Allah turun ke langit dunia. Dia berseru: Aku adalah raja. Aku adalah raja. Siapa yang berdoa kepada-Ku untuk Aku kabulkan? Siapa yang berdoa meminta dari-Ku untuk Aku kurniakan (permintaannya)? Siapa yang memohon ampun dari-Ku untuk Aku ampunkan? Seruan ini berterusan sehinggalah fajar menyinsing.” [Diriwayatkan oleh Muslim]
Alangkah indahnya jika kita menyambut seruan ini diusia muda. Alangkah indahnya jika kita bersama-sama rakan menyahut seruan ini. Alangkah beruntungnya sesiapa yang menyahut seruan Tuhan Semesta Alam.
Tapi………..Apakah yang berlaku pada malam-malam Ramadhan yang lalu?Adakah kita berdoa?Adakah kita memohon kurniaan?Adakah kita memohon keampunan?Adakah kita berDOA?
Jika jawapannya tidak…………… ALANGKAH SOMBONGNYA KITA?????
RAMADHAN
Saudara-saudari,
Apabila kita membuat kesilapan kita sering menyalahkan syaitan dan iblis yang menggoda kita. Tetapi mengapakah kesilapan yang sama turut berlaku dalam bulan Ramadhan? Adakah rantai-rantai yang membelit kaki-kaki syaitan itu terlalu panjang hingga dapat memberi 'petunjuk' kepada kita?
Sabda Rasulullah saw.:
"Apabila datang bulan Ramadhan, dibukakan pintu langit dan ditutup pintu neraka serta dibelenggu segala syaitan."
Semoga dengan keberkatan Ramadhan ini kita akan dapat menggilap kembali hati kita yang pudar dan melumpuhkan nafsu-nafsu hitam yang bertahta di hati kita selama ini. Oleh itu, inilah masa yang perlu digunakan sebaik mungkin untuk mendidik kembali nafsu kita yang selama ini dikongkong oleh syaitan. Berpuasa bukanlah sekadar berlapar semata-mata. Tetapi puasa adalah berlapar di samping mendidik nafsu dan peribadi manusia. Ini adalah jihad yang maha besar yang perlu dihadapi oleh setiap umat Islam.
Nabi Muhammad saw pernah bersabda:
"Berjihadlah kamu dengan lapar dan dahaga kerana pahalanya seperti pahala mujahid di jalan Allah (fi sabilillah) dan sesungguhnya tiada amalan yang lebih diperkenankan oleh Allah selain menahan lapar dan dahaga"
Saudara-saudari,
Bulan Ramadhan ini adalah anugerah Allah sebagai lambang kasih sayang kepada hamba-hamba Nya. Allah tidak mensia-siakan keletihan umatnya yang berpuasa hinggakan tidur di waktu siang juga diberikan pahala. Begitu besarnya kasih sayang Allah pada kita. Oleh itu marilah bersama-sama kita menilai diri kita. Semoga tahun ini amalan kita akan semakin bertambah dan sempurna perlaksanaannya. Insya Allah. Janganlah kita termasuk dalam golongan yang menganiayai diri sendiri.
Sabda Rasulullah saw:
"Barangsiapa yang mendirikan Ramadhan dengan penuh keimanan nescaya diampunkan segala dosa-dosanya yang lalu."