Sesungguhnya nikmat yang dikurniakan Allah Subhanahu Wata’ala kepada kita amat banyak. Salah satu nikmat yang amat berharga ialah sihat tubuh badan. Kesihatan adalah faktor yang amat penting dan merupakan rahmat Allah Subhanahu Wata’ala yang diharapkan oleh hamba-hamba-Nya kerana kesihatan adalah punca kebahagiaan dan kesenangan. Kerana itu kita patut bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala jika dianugerahkan tubuh badan yang sihat. Kadang-kadang ada di antara kita yang lupa untuk menghargai kesihatan yang kita miliki, apabila telah jatuh sakit barulah sedar dan merasakan betapa nikmatnya sihat itu.
Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda dalam hadis Baginda, maksudnya :
“Dari Ibnu A’bbas Radiallahuanhuma katanya : Telah bersabda Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam : Dua nikmat yang kebanyakan orang sering terpedaya olehnya ialah kesihatan dan masa lapang.” (Riwayat Al-Imam Al-Bukhari).
Begitu juga kata-kata hikmat ada menyatakan : “Kesihatan itu ibarat mahkota di atas kepala orang yang sakit ia tidak akan diketahui melainkan oleh orang-orang yang dalam keadaan sakit.”
Memandangkan betapa berharganya kesihatan itu pada kita, maka sewajarnyalah kita berusaha menjaga dengan sebaik-baiknya. Dalam usaha menjaga dan menghindarkan diri dari terkena penyakit, kita perlulah menitikberatkan kebersihan dan penjagaan dalam semua hal. Kerana itulah Islam awal-awal lagi memberikan peringatan kepada umatnya supaya jangan melakukan perkara-perkara yang boleh mendatangkan kemudaratan kepada akal dan tubuh badan serta mengharamkan semua makanan dan minuman yang boleh membinasakan dan membahayakan manusia seperti bangkai, arak, babi, rokok dan penyalahgunaan dadah.
Allah Subhanahu Wata’ala berfirman dalam Surah Al Maa-idah ayat 3, tafsirnya :
“Diharamkan kepada kamu memakan bangkai binatang yang tidak disembelih dan darah yang keluar mengalir dan daging babi.”
Sememangnya Allah Subhanahu Wata’ala mengharamkan sesuatu perkara itu ada hikmat di sebaliknya, contohnya Allah Subhanahu Wata’ala mengharamkan babi adalah untuk menjaga maslahat, nyawa dan kehidupan manusia dari kerosakan. Para saintis juga telah membuktikan betapa bahayanya babi, di mana hasil kejayaan mereka mendapati bahawa memakan daging babi menyebabkan seseorang boleh dihinggapi 70 jenis penyakit.
Seperti yang kita maklum, wabak penyakit Influenza A H1N1 yang sedang melanda negara pada masa ini adalah berpunca pada asalnya dari binatang babi. Maka sudah terbuktilah bahawa Allah Subhanahu Wata’ala mengharamkan sesuatu itu ada kebaikan di sebaliknya. Janganlah kita cuba untuk mempertikaikan tentang hukum Allah Subhanahu Wata’ala.
Dalam kita menghadapi wabak penyakit Influenza A H1N1 ini, apakah cara dan langkah terbaik untuk kita memahami ujian ini sekali gus untuk kita menghadapinya? Apabila diuji dengan sesuatu penyakit, maka selaku seorang Muslim yang beriman, perkara yang utama yang perlu dilakukan ialah muhasabah diri, mengingati dan menghitung kembali kesalahan atau dosa yang telah dilakukan, maka apabila ditimpa dengan sedikit ujian itu, wajarlah kita bersabar dan menerimanya dengan reda tanpa sebarang keluhan atau rintihan, jauh sekali menyalahkan qadak dan qadar Allah Subhanahu Wata’ala, setentunya Allah Subhanahu Wata’ala Maha Mengetahui akan rahsia dan hikmat di sebalik ujian tersebut.
Di samping bersabar, kita juga disuruh supaya berusaha dengan mengambil langkah pengawasan diri daripada terkena sebarang penyakit seperti menjaga kebersihan diri dan menjauhi apa jua yang menjadi punca kepada penularan penyakit. Sememangnya perkara menjaga kebersihan ini telah dititikberatkan oleh ajaran agama Islam, sebagaimana firman Allah Subhanahu Wata’ala dalam Surah At Taubah ayat 108, tafsirnya :
“Dan Allah mengasihi orang-orang yang membersihkan diri mereka (zahir dan batin).”
Dan sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, maksudnya :
“Dari Abi Malik Al-Asy’ari berkata : Telah bersabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam : Kebersihan itu sebahagian dari iman.” (Riwayat Al- Imam Muslim).
Selain daripada itu, sebagai orang Islam, senjata yang paling berkesan bagi kita menangani perkara ini ialah dengan memperbanyakkan ibadat, zikir dan doa. Kita juga hendaklah memperbanyakkan istigh- far dan sentiasa memohon keampunan agar dosa-dosa yang telah dilakukan diampunkan oleh Allah Subhanahu Wata’ala.
Menurut Qatadah Rahimahullah : “Al-Qur’an menunjukkan kepada kamu tentang penyakit bagi kamu dan penyembuh (ubat) bagi kamu. Adapun penyakit bagi kamu adalah dosa dan penyembuh (ubat) bagi kamu adalah istighfar.”
Sayidina Ali Radiallahuanhu juga ada berkata : “Satu keajaiban pada siapa yang binasa kerana dosa, namun bersamanya penyelamat.” Ditanyakan kepadanya, “Apakah dia penyelamat itu?” Beliau menjawab : “Istighfar.”
Di samping itu hendaklah kita bertekad dan bersungguh-sungguh meninggalkan maksiat dan kesalahan yang mengundang bencana dan kemurkaan Allah Subhanahu Wata’ala. Alhamdulillah, sejauh ini kita telah berusaha dengan menunaikan Sembahyang Sunat Hajat, membaca Qunut Nazilah, membanyakkan membaca Al-Qur’an, berzikir dan membaca doa-doa tertentu dan sebagainya. Maka kita teruskan dan tingkatkan lagi usaha itu sama ada secara berjemaah atau bersendirian. Dalam mengerjakan secara berjemaah di masjid, adalah lebih elok kita datang beramai-ramai lebih awal ke masjid dan membawa anak-anak dan keluarga bagi sama-sama mengerjakan Sembahyang Sunat Hajat dan membaca Qunut Nazilah. Setelah kita berusaha dan berdoa, kita hendaklah bertawakal dengan menyerahkan segala urusan kepada apa jua ketentuan dan kehendak Allah Subhanahu Wata’ala.
Sememangnya kita disunatkan membaca Qunut Nazilah apabila ditimpa musibah seperti diserang wabak, kemarau, dizalimi oleh orang-orang kafir dan seumpamanya agar kita dilindungi oleh Allah Subhanahu Wata’ala. Perkara ini pernah dilakukan oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam di mana pada tahun Keempat Hijrah, seramai 70 orang qura’ dan penghafaz Al-Qur’an dari golongan sahabat Nabi telah terbunuh kerana dianiaya oleh kaum Musyrikin di Telaga Ma’unah (satu tempat yang terletak di antara Mekah dan Uthsfan). Maka Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam berdoa kepada Allah Subhanahu Wata’ala (membaca qunut) pada tiap-tiap sembahyang fardu lima waktu selama satu bulan.
Sesungguhnya terdapat banyak doa, wirid, zikir dan selawat yang boleh diamalkan ketika ditimpa musibah, antaranya seperti membaca :
Beristighfar (sekurang- kurangnya membaca)
Membaca selawat Tafrijiah dan sebagainya.
Dalam menghadapi wabak penyakit ini, ikutilah seranan dan nasihat-nasihat yang telah diberikan. Di samping itu kita muhasabah diri, mengingati dan menghitung kembali kesalahan dan dosa yang telah dilakukan. Banyakkanlah berdoa dan beristighfar memohon keampunan ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala.
Akhirnya sama-samalah kita berdoa dan memohon hidayah serta rahmat dari Allah Subhanahu Wata’ala semoga wabak penyakit ini akan segera berakhir dan semoga diri kita, ahli keluarga kita serta seluruh rakyat dan penduduk negara ini mendapat perlindungan Allah Subhanahu Wata’ala dan selamat dari segala wabak penyakit dan bala bencana. Amin Ya Rabbal'alamin.
Firman Allah Subhanahu Wata’ala dalam Surah Al Baqarah ayat 214, tafsirnya :
“Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk Syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan harta benda) dan serangan penyakit serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersertanya, bilakah (datangnya) pertolongan Allah? Ketahuilah, sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada agama Allah).
No comments:
Post a Comment