Dalam sesebuah keluarga, suami adalah pemimpin atau ketua dalam keluarganya. Suami memikul amanah dan tanggungjawab yang sangat besar yang tidak boleh diabaikan, iaitu menjaga isteri dan anak-anak supaya mereka beroleh kebahagiaan, keselamatan dan kejayaan di dunia dan di akhirat. Manakala isteri pula bertanggungjawab menjaga rumah tangga, membantu suami dan bekerjasama dalam usaha mewujudkan rumah tangga yang bahagia berlandaskan ajaran agama Islam. Ini bertepatan sebagaimana hadis Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bermaksudnya:
“Daripada Abdullah bin Umar berkata ia, aku telah mendengar Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda: Seseorang lelaki adalah pemimpin dalam urusan keluarganya dan dia akan diminta bertanggungjawab dalam kepimpinannya. Dan seorang isteri adalah pemimpin dalam mengurus rumah tangga suaminya dan dia akan diminta bertanggungjawab dalam kepimpinannya.” (Riwayat Al Imam Bukhari).
Adapun salah satu kewajipan suami terhadap keluarganya ialah memberikan nafkah kepada tangungannya iaitu isteri dan anak-anak. Nafkah yang dimaksudkan ialah menyediakan segala keperluan isteri dan anak-anak seperti makanan, pakaian, tempat tinggal dan kemudahan- kemudahan yang lain mengikut kemampuannya,
ini jelas sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Ath Thalaaq ayat 7 yang tafsirannya:
“Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya dan sesiapa yang disempitkan rezekinya, maka hendaklah ia memberi nafkah dari apa yang diberikan oleh Allah kepadanya sekadar yang mampu, Allah tidak memberati seseorang melainkan sekadar kemampuan yang diberikan Allah kepadanya. Orang-orang yang dalam kesempitan hendaklah ingat bahawa Allah akan memberikan kesenangan sesudah berlakunya kesusahan.”
Memandangkan memberi nafkah kepada mereka di bawah tanggungan itu suatu kewajipan dari Allah Subhanahu Wata'ala, maka suami adalah berdosa jika mengabaikan tanggungjawabnya.
Kita perlu ingat bahawa pengabaian tanggungjawab hanya akan mendatangkan kesan-kesan negatif terhadap rumah tangga yang dibina, di antaranya isteri akan memikul tanggungjawab yang sepatutnya dipikul oleh suami dan akan menguruskan segala-galanya secara bersendirian seperti mencari nafkah, menjaga dan mengasuh anak-anak tanpa bantuan suami. Keadaan ini akan lebih menyedihkan lagi apabila isteri tidak mempunyai pekerjaan dan pendapatan, yang akhirnya mengharapkan balas kasihan dan ihsan orang lain. Jika hal ini berlaku, sudah setentunya anak- anak akan merasa kecewa dan menghadapi tekanan perasaan disebabkan seorang bapa yang tidak bertanggungjawab sehingga sanggup membiarkan anak-anak sendiri menderita dan merana, tiada wang untuk belanja sekolah dan membeli keperluan seharian. Perkara ini ada kalanya boleh menjejaskan pendidikan mereka seperti terpaksa berhenti sekolah dan ada pula di antaranya terlibat dengan gejala sosial yang akan menggelapkan masa depan mereka.
Agama Islam amat menekankan betapa pentingnya memelihara kerukunan rumah tangga dan keluarga agar aman dan bahagia. Keluarga yang harmoni menjadi kunci kejayaan setiap anggota keluarga, khususnya anak-anak kita. Bukankah kita sering kali mendengar masalah sosial yang berkaitan dengan golongan remaja antaranya disebabkan oleh kerapuhan dan kelemahan institusi keluarga, di mana terdapat di kalangan remaja yang merasakan tidak dihargai dan tidak diberikan perhatian sewajarnya oleh keluarga mereka.
Dalam membentuk dan membina sebuah keluarga yang bahagia kita hendaklah mencontohi bagaimana cara Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam membentuk dan mendidik keluarga Baginda untuk mencapai sebuah keluarga yang ‘sakinah’ (aman damai). Maka dalam hal ini hendaklah kita berusaha sedaya upaya untuk membentuk keluarga bahagia, harmoni dan berjaya sepanjang masa dengan berpandukan ajaran agama Islam yang antaranya:
Pertama: Menanamkan keimanan yang kukuh dan nilai-nilai Islam dalam keluarga. Sesebuah keluarga tidak mungkin bahagia tanpa asas iman yang kukuh dan cinta kepada agama Islam. Apabila kita sudah memiliki iman yang kukuh dan menanamkan perasaan cinta kepada Islam, maka dengan sendirinya ia akan menghasilkan sifat bertanggungjawab dalam diri untuk melakukan kebaikan, di samping menanamkan sikap berwaspada agar tidak terjerumus dalam kancah dosa dan maksiat.
Kedua: Memahami tanggungjawab dan amanah yang dipikul. Sebagai ibu bapa adalah berperanan untuk memberi perhatian dan didikan yang betul kepada anak-anak. Didiklah mereka dengan nilai-nilai murni dengan memberi mereka tunjuk ajar dan contoh teladan yang baik secara konsisten (berterusan).
Ketiga: Nasihat menasihati dan memberi sokongan secara berhemah, jika kita dapati anak-anak atau ahli keluarga kita melakukan kesalahan, maka nasihatilah mereka dengan penuh hikmah (bijaksana) dan penuh kesabaran. Elakkan penggunaan kata-kata kesat yang boleh menjatuhkan semangat dan maruah mereka. Budayakanlah dalam keluarga kita untuk memberi sokongan dan dorongan agar mereka dapat terus mencapai kejayaan. Dengarlah keluhan dan pandangan mereka agar mereka merasa dihargai dan disayangi.
Keempat: Memupuk kasih sayang yang berpanjangan. Kita hendaklah menjaga dan mengeratkan hubungan silaturahim di kalangan anggota keluarga dengan memastikan suasana sentiasa ceria, mesra dan saling hormat-menghormati. Berdoalah untuk kebahagiaan keluarga agar sentiasa mendapat rahmat dan perlindungan daripada Allah Subhanahu Wata'ala. Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Al-Furqaan ayat 74 yang tafsirannya:
“Dan juga mereka yang diredai Allah itu ialah orang-orang yang berdoa dengan berkata: Wahai Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami isteri-isteri
dan zuriat keturunan kami, perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan menjadikan kami imam ikutan bagi orang-orang yang mahu bertaqwa.”
Maka bersempena dengan sambutan Hari Keluarga Peringkat Kebangsaan yang lalu, sama-samalah kita menanamkan sikap bertanggungjawab dalam diri untuk membina sebuah institusi keluarga yang harmoni dan bahagia.
Akhirnya marilah kita berdoa kepada Allah Subhanahu Wata'ala semoga diberi petunjuk dan hidayah dalam mengharungi kehidupan berkeluarga agar kita dan keluarga serta masyarakat, bangsa dan negara hidup bahagia di dunia dan di akhirat. Amin Ya Rabbal'alamin.
Allah Subhanahu Wata'ala berfirman dalam Surah Ar Ruum ayat 21 yang tafsirannya: “Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan dan rahmat-Nya, bahawa ia menciptakan untuk kamu wahai kaum lelaki, isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikannya di antara kamu suami isteri perasaan kasih sayang dan belas kesihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan yang menimbulkan kesedaran bagi orang-orang yang berfikir.”
No comments:
Post a Comment