BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 13 Julai. - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzadin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah sungguhpun majlis-majlis perayaan dan sambutan Hari Keputeraan baginda terpaksa ditangguhkan, namun semangat 15 Julai tetap hangat dan berkobar-kobar.
Baginda bertitah penangguhan acara-acara perayaan itu dibuat memandangkan negara sekarang dilanda oleh pandemik Influenza A (H1N1), suatu musibah global yang menakutkan yang turut mengganggu aktiviti-aktiviti sosial.
“Kita sekarang dilanda oleh pandemik Influenza A (H1N1), suatu musibah global yang menakutkan kerananya banyaklah aktiviti sosial turut terganggu di antaranya majlis-majlis perayaan dan sambutan Hari Keputeraan beta juga terpaksa ditangguhkan, namun kita percaya semangat 15 Julai tetap hangat dan berkobar-kobar,” titah baginda semasa berangkat ke Mesyuarat Khas Majlis Bencana Kebangsaan yang dilangsungkan di Bilik Mesyuarat, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Berakas di sini hari ini.
"Beta amat berterima kasih pada semua pihak yang turut terlibat mengadakan persiapan-persiapan sambutan dan perayaan di dalamnya. Sambutan dan perayaan adalah biasa diungkayahkan oleh kerajaan, swasta mahu pun pihak-pihak persendirian, Beta amatlah menghargai usaha semua pihak tersebut", titah baginda.
Dalam pada itu, baginda mengingkatkan semua pihak supaya sambutan ulang tahun Hari Keputeraan baginda tidak membebankan pihak swasta dan orang ramai.
Dalam makna menyambut Hari Keputeraan itu, titah baginda, ia dijadikan alat untuk menarik dan melonggokkan derma, di mana jawatankuasa perayaan akan membuat rancangan-rancangan besar dengan melobi orang ramai supaya menderma yang sasaran utamanya ialah syarikat-syarikat besar.
Baginda bertitah, siapa yang tampil menderma akan diberikan publisiti, akan diadakan majlis-majlis bagi menerima derma-derma tersebut dan tidak habis setakat itu, tersiar pula beritanya di dalam media-media akhbar dan televisyen, di mana yang muncul menerima derma adalah menteri atau pegawai-pegawai tinggi yang lain seolah-olah Hari Keputeraan itu dijadikan medan untuk melobi.
Menurut titah baginda, adakah cara itu wajar iaitu melobi dan berkempen supaya orang berlumba menderma untuk Hari Keputeraan, dalam makna Hari Keputeraan itu dijadikan sebab dan alat untuk menarik orang ramai supaya berduyun-duyun menderma.
Baginda yakin dengan menggunakan nama Hari Keputeraan itu sememangnya akan belurih sumbangan, tetapi soalnya, adakah ia wajar atau semua orang ikhlas ataupun terpaksa, di mana perkara itu perlu dilihat dan dihalusi, bukan terus dijadikan rutin dan trend yang kekal pada setiap tahun.
Baginda bertitah menjelaskan, sambutan Hari Keputeraan bukanlah untuk membazir atau menyusahkan rakyat, apa yang penting ialah sambutan berjalan dengan sempurna dan dalam kata lain jangan sampai kita ‘berabis’ membuat rancangan secara besar-besaran.
Titah baginda, ada masanya peruntukan dibuat dan kemudian dikira, tetapi apabila projek sudah berjalan maka syarikat berkenaan menuntut bayaran sehingga ada yang tidak berbayar dan akhirnya terpaksa dibayar oleh pihak kerajaan yang baginda sifatkan sebagai bencana yang membebankan kerajaan sekali gus menyusahkan rakyat. Terdahulu, baginda menghargai semua pihak yang terlibat termasuk kerajaan, pihak swasta dan pihak-pihak persendirian yang mengadakan persiapan-persiapan sambutan dan perayaan yang akan diadakan.
No comments:
Post a Comment