MARILAH kita meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah Subhanahu Wata’ala dengan penuh keyakinan dan keikhlasan dengan melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala apa jua larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi orang yang beriman dan bertaqwa kerana hanya dengan beriman dan bertaqwa sahajalah kita akan beroleh kesejahteraan dan kejayaan hidup di dunia dan di akhirat.
Sebagaimana lazimnya pada setiap 27 Rejab, kita akan merayakan Sambutan Israk dan Mikraj dengan berbagai-bagai majlis ilmu dan acara keagamaan. Peristiwa Israk dan Mikraj adalah antara mukjizat terbesar Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam selain Al-Qur’an dan merupakan peristiwa agung dan mulia di mana Baginda telah diisrakkan (diperjalankan) dari Masjidilharam ke Masjidilaqsa dan dimikrajkan (dinaikkan) ke langit menuju ke Sidratulmuntaha.
Berlakunya peristiwa Israk dan Mikraj banyak mengandungi hikmah kerana pada hari tersebut Allah Subhanahu Wata’ala telah memperlihatkan berbagai kejadian aneh kepada Baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang hendaknya dijadikan iktibar kepada umat manusia untuk menjadi peringatan dan pengajaran. Antara peristiwa tersebut ialah ketika mana Baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam tercium bau harum semarbak, lalu Baginda bertanya kepada Malaikat Jibril Alaihissalam : “Wahai Jibril, bau apakah yang sangat harum itu?. Jibril menjawab : Inilah bau harum Masyitah, tukang sikat rambut anak Firaun. Masyitah adalah seorang yang sangat teguh keimanannya dan sangat tegas dalam mempertahankan aqidahnya sehingga sanggup mengorbankan diri dan keluarganya.
Ketika Masyitah dipaksa untuk mengaku bahawa Firaun itu adalah Tuhan sebenar, ia dengan penuh keberanian dan keyakinan tetap mengatakan “Tuhan aku dan Tuhan kamu ialah Allah.” Perkara tersebut menimbulkan kemarahan yang amat sangat kepada Firaun. Firaun memerintahkan supaya dibuat kawah daripada tembaga dan diisi dengan minyak lalu diganggang di atas api hingga panas menggelegak. Kemudian keluarga Masyitah dihumban ke dalam kawah seorang demi seorang. Namun ketika tiba giliran anak damit Masyitah, maka timbullah perasaan kasihan si ibu terhadap anaknya. Masyitah hampir mengaku kalah dan ingin menyerah kepada kemahuan Firaun, namun dengan takdir Allah Subhanahu Wata’ala anak damit itu pun berkata dan menyeru ibunya supaya masuk ke dalam kawah itu kerana sesungguhnya ia berada di atas pihak yang benar.” Dengan demikian apabila didengar saja perkataan tersebut, maka Masyitah menjadi berani, lantas terjulah ia bersama anak damit ke dalam kawah tersebut.
Demikianlah suatu peristiwa yang sangat luar biasa dengan kehendak Allah Subhanahu Wata’ala, seorang kanak-kanak kecil boleh berkata-kata dengan fasih. Pengorbanan mempertahankan akidah sehingga sanggup mati merupakan suatu kemenangan yang dibalas oleh Allah Subhanahu Wata’ala sebagai syahid.
Marilah kita mengambil iktibar daripada ketegasan Masyitah dalam mempertahankan aqidah Islamiah agar ianya menjadi dasar pegangan yang kukuh di dalam kehidupan kita. Tanpa adanya kekuatan aqidah Islamiah manusia akan berada dalam kehancuran dan kerosakan sebagaimana telah terjadi kepada umat terdahulu yang telah dilaknat oleh Allah Subhanahu Wata’ala.
Di antara peristiwa lain yang berlaku dalam Israk dan Mikraj ini ialah ketetapan perintah sembahyang lima waktu. Sesungguhnya sembahyang adalah ibadat yang paling utama bagi umat Islam sehingga ia disebut sebagai tiang agama dan ia terlalu istimewa kerana Baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam sendiri telah menerima perintah tersebut secara langsung daripada Allah Subhanahu Wata’ala di Sidratulmuntaha. Kewajipan ibadat tersebut sangat ditekankan dalam agama Islam dan merupakan amal perbuatan yang pertama sekali akan dihisab oleh Allah Subhanahu Wata’ala di akhirat kelak.
Oleh itu sebagai orang yang beriman, kita hendaklah mengerjakan sembahyang fardu lima waktu. Laksanakanlah dan peliharalah ibadat sembahyang dengan sempurna, jangan meninggalkan sembahyang dengan sengaja kerana hukumnya adalah berdosa besar dan Allah Subhanahu Wata’ala telah menjanjikan seksaan yang pedih di akhirat kelak.
Firman Allah Subhanahu Wata’ala dalam Surah Al Muddatstsir ayat 42 - 43, tafsirnya :
“Setelah melihat orangorang yang bersalah itu, mereka berkata : Apakah yang menyebabkan kamu masuk ke dalam Neraka Saqar? Orang-orang yang bersalah itu menjawab : Kami tidak termasuk dalam kumpulan orang- orang yang mengerjakan sembahyang.”
Sesungguhnya dalam peristiwa Israk dan Mikraj itu mengandungi banyak hikmah antaranya kita boleh mengambil pengajaran daripada kisah Masyitah yang tetap teguh dalam keimanannya dan tidak gentar mempertahankan akidahnya walaupun diancam dengan hukuman yang bukan sahaja mengorbankan nyawa bahkan juga ahli keluarganya. Oleh itu marilah kita sama-sama mengambil iktibar dari peristiwa tersebut sebagai panduan dan pembimbing dalam memantapkan keimanan dan ketaqwaan kita sebagai hamba Allah. Akhirnya sama-samalah kita berdoa semoga kita dapat menikmati kehidupan yang bahagia dan selamat di dunia dan di akhirat.
Firman Allah Subhanahu Wata’ala dalam Surah Al Israa’ ayat 60, tafsirnya: “Dan ingatlah tatkala Kami wahyukan kepadamu wahai Muhammad, bahawa sesungguhnya Tuhanmu meliputi akan manusia dengan ilmu-Nya dan kekuasaan-Nya. Dan tiadalah Kami menjadikan pandangan (pada malam Mikraj) yang telah Kami perlihatkan kepadamu melainkan sebagai satu ujian bagi manusia. Dan demikian juga Kami jadikan pokok yang dilaknat di dalam Al-Qur’an dan Kami beri mereka takut dengan berbagai-bagai amaran maka semuanya itu tidak menambahkan mereka melainkan dengan kekufuran yag melampau-lampau.”
No comments:
Post a Comment