Alhamduillah, kita merasa syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana telah menjadikan negara kita sebuah negara yang berdaulat di bawah pemerintahan seorang raja yang kita kasihi. Adapun sistem pemerintahan beraja di negara kita Brunei Darussalam telah pun wujud sekian lama di mana raja adalah sebagai pemegang tampuk pemerintah negara yang sudah menjadi turun-temurun. Oleh itu sebagai rakyat yang bernaung di bawah payung pemerintahannya, kita wajib patuh dan mentaatinya. Di samping itu kita juga perlu mengenali baginda dan mengingati tarikh keputeraan baginda dan termasuklah juga mengetahui salsilah baginda.
Bagi Negara Brunei Darussalam, 15 Julai adalah tarikh bersejarah kerana tarikh itulah raja kita diputerakan dan pada setiap tahun diadakan Majlis Sambutan Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam. Sebagai tanda memperingati Hari Keputeraan baginda serta sebagai tanda menzahirkan taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada raja. Sebagaimana kelazimannya apabila menjelang sambutan tersebut, maka seluruh rakyat dan penduduk di negara ini diarahkan mengibarkan bendera negara sebagai tanda membesarkan dan memeriahkan sambutan Hari Ulang Tahun Keputeraan baginda.
Setiap negara di dunia ini mempunyai bendera masing-masing dengan identitinya yang tersendiri kerana bendera merupakan simbol atau lambang sesebuah negara, kedaulatan pemerintah dan bangsanya. Negara kita juga mempunyai bendera kebangsaan sendiri yang berwarna kuning, putih dan hitam serta di tengah-tengahnya terdapat panji-panji negara berwarna merah yang tertera perkataan bahasa Arab yang berbunyi, ertinya :
“Sentiasa membuat kebajikan atau kebaikan dengan petunjuk Allah”.
Sebenarnya kata-kata yang termaktub pada panji-panji tersebut, mengandungi erti yang mendalam dan penuh makna, antaranya sentiasa berkhidmat, berbakti, berjasa kepada agama dan negara dengan bimbingan serta petunjuk Allah Subhanahu Wata’ala. Kata-kata ini amat relevan dijadikan sebagai konsep hidup dalam berkeluarga, bermasyarakat dan bernegara. Kata-kata ini juga bersesuaian dengan falsafah negara iaitu 'Melayu Islam Beraja' serta menepati sebagaimana dikehendaki oleh ajaran agama Islam.
Firman Allah Subhanahu Wata’ala dalam Surah Al Baqarah ayat 120, tafsirnya :
“… Katakanlah kepada mereka sesungguhnya petunjuk Allah (agama Islam) itulah petunjuk yang benar…”
Bendera juga merupakan lambang perpaduan rakyat di sesebuah negara walaupun wujud perbezaan agama, keturunan, bangsa dan fahaman, tetapi tetap bersatu di bawah naungan seorang raja atau ketua negara. Kita perlu ingat bahawa perpaduan menjamin keselamatan dan mewujudkan kemakmuran dan pembangunan. Oleh kerana bendera merupakan lambang dan simbol negara, maka kita sebagai rakyat seharusnya menghormati bendera kita sebagai salah satu tanda cinta kita kepada negara.
Bendera dapat membakar semangat patriotik dan semangat kenegaraan. Contohnya dalam sukan, setiap kontinjen mengibarkan bendera negara mereka masing-masing sebagai pengenalan negara yang diwakili. Jika persidangan permesyuaratan luar negara diadakan, bendera negara perwakilan diletakkan di atas meja masing-masing sebagai lambang pengenalan negara yang mereka wakili. Oleh itu tidak hairanlah jika seseorang rakyat yang berjiwa patriotik akan merasa marah dan terhina jika bendera negaranya dihina dan tidak dihormati.
Sejarah Islam di zaman Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dapat dijadikan inspirasi betapa penghormatan pejuang-pejuang Islam terhadap panji-panji atau bendera. Di mana pada tahun kelapan Hijrah, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam telah mengarahkan satu angkatan tentera Islam untuk menghadapi ancaman Rom di Negara Syam (Syria) kerana disebabkan seorang utusan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang membawa surat dakwah Baginda iaitu Al-Hariss bin Umairilazda telah dibunuh dengan cara yang sangat kejam oleh seorang pembesar negara di Muq’tah. Lalu Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam pun mempersiapkan dan mengatur angkatan perang yang seramai tiga ribu orang di bawah pimpinan Za’id bin Har’risah. Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam berpesan kepada kaum Muslimin : “Jika Za’id tewas, pimpinan hendaklah diserahkan kepada Ja’afar bin ‘Abi Talib dan jika Ja’afar tewas, pimpinan hendaklah diserahkan kepada Abdullah bin Riwa’ah, jika Abdullah bin Riwa’ah tewas, maka biarlah kaum Muslimin sendiri memilih siapa yang akan menjadi panglima untuk memimpin mereka.”
Semasa dalam pertempuran yang sengit itu, tentera Islam telah menunjukkan kepahlawanan masing-masing. Za’id bin Har’risah yang membawa bendera Islam dengan penuh keberanian telah merempuh barisan musuh yang berlipat ganda jumlahnya. Tetapi Za’id bin Har’risah telah ditewaskan, menyebabkan bendera yang dibawanya telepas dari tangannya. Ja’afar bin ‘Abi Talib yang melihat kejadian itu dengan cepat mengejar dan merebut bendera itu lalu memimpin angkatan perangnya untuk terus menyerang barisan tentera musuh.
Pihak musuh yang melihat kegagahan dan keberanian Ja’afar itu lalu dengan cepat mengepungnya dan menikam kuda yang ditunggangi Ja’afar. Namun Ja’afar tetap meneruskan pertempuran itu sehingga akhirnya pihak musuh dapat memotong tangan kanan Ja’afar sehingga terputus dan menyebabkan bendera yang berada ditangan kanannya dengan cepat dipegang oleh tangan kirinya dan Ja’afar terus maju dengan angkatan perang menyerang musuh. Tetapi akhirnya pihak musuh dapat pula memotong tangan kirinya sehingga memaksa Ja’afar memeluk dan mengapit bendera yang dipegangnya dengan hujung sikunya yang sudah putus itu.
Pihak tentera musuh melihat kepahlawanan Ja’afar yang begitu gagah, tidak mengenal sakit dan sengsara, maka mereka terus mengintai-intai mencari kesempatan untuk membunuhnya yang akhirnya mereka berjaya membunuh Ja’afar sehingga tubuh Ja’afar terbelah dua. Abdullah bin Riwa’ah yang melihat peristiwa itu, dengan cepat merebut bendera Islam yang dibawa oleh Ja’afar bin ‘Abi Talib itu dan menggantikan kedudukan Ja’afar sebagai panglima yang memimpin angkatan perang dan meneruskan perjuangan menentang tentera-tentera musuh.
Inilah kisah keberanian pahlawan Islam dalam perjuangan mereka walau hingga terkorban nyawa demi menegakkan kebenaran kalimah Allah, di samping tidak rela panji-panji atau bendera Islam itu jatuh ke bumi kerana ia adalah simbol tanggungjawab kepimpinan yang telah diamanahkan oleh Baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam.
Oleh itu, wahai kaum Muslimin, jadikanlah peristiwa ini sebagai iktibar dan pengajaran dalam menjaga dan memelihara kehormatan bendera kita yang menjadi maruah bangsa dan negara. Perlu kita ambil perhatian bendera yang dikibarkan itu hendaklah dijaga kesempurnaannya, jangan sampai bendera tersebut ada yang koyak dan pudar warnanya.
Maka bersempena dengan sambutan perayaan ulang tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Yang Ke-63 Tahun pada 15 Julai 2009 yang akan datang, kita selaku rakyat dan penduduk di negara ini sepatutnya sama-sama menyahut seruan kerajaan supaya mengibarkan bendera negara ini sebagai tanda ketaatan dan kesetiaan kita kepada raja dan negara yang dicintai.
Firman Allah Subhanahu Wata’ala dalam Surah An Nisaa' ayat 59, tafsirnya:
“Wahai orang-orang yang beriman! Taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasul dan kepada Ulil Amri (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah berselisihan dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikan kepada kitab Allah (Al-Qur’an) dan Sunnah Rasul-Nya jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan Hari Akhirat. Yang demikian adalah lebih baik bagi kamu dan lebih elok pula kesudahannya.”
No comments:
Post a Comment