Jika bulan Rejab dikaitkan dengan Peristiwa Israk Mikraj yang dialami Baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, bulan Syaaban diingati dengan kehadiran Malam Nisfu Syaaban pada 15 Syaaban setiap tahun Hijrah. Meskipun tiada sumber yang sahih tentang pertukaran buku amalan manusia pada malam tersebut (bahawa buku amalan pada tahun lepas akan dinaikkan ke langit dan buku baru akan dibuka pada malam tersebut), namun telah menjadi amalan umat Islam untuk membaca Surah Yaa Siin sebanyak tiga kali dengan niat yang berlainan bagi setiap satu bacaan.
Bulan Rejab, Syaaban dan Ramadan adalah peluang untuk umat Islam memperbaiki dan mempertingkatkan amalan di dalam menjalani kehidupan dan terpulanglah kepada kita untuk mengambil kesempatan yang hadir hanya sekali setiap tahun ini, atau membiarkan ianya berlalu dalam kehidupan kita tanpa sebarang perubahan.
Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam telah bersabda yang bermaksud:
"Apabila masuk bulan Syaaban, baikkanlah niatmu pada-Nya, kerana kelebihan Syaaban atas segala bulan seperti kelebihan-Ku atas kamu.
Barang siapa berpuasa sehari pada bulan Syaaban, diharamkan Allah tubuhnya dari api neraka. Dia akan menjadi tauladan Nabi Yusuf Alaihissalam di dalam Syurga. Diberi pahala oleh Allah seperti pahala Nabi Ayub Alaihissalam dan Nabi Daud Alaihissalam. Jika dia sempurnakan puasanya sebulan di bulan Syaaban, dimudahkan Allah atasnya Sakratulmaut dan ditolakkan (terlepas) daripadanya kegelapan di dalam kubur, dilepaskan daripada hira-hara Munkar dan Nankir, ditutup Allah keaibannya di Hari Kiamat dan diwajibkan Syurga baginya.
Syaaban adalah bulan-Ku dan Ramadan adalah bulan umat-Ku. Syaaban ialah mengkifaratkan (menghapuskan) dosa dan Ramadan ialah menyucikan dosa (jasmani dan rohani).
Dinamakan Syaaban kerana padanya terdapat kebajikan yang amat banyak dan puasa yang lebih afdal sesudah Ramadan ialah puasa bulan Syaaban. Pengertian Syaaban : Kemuliaan, Ketinggian, Kebajikan, Jinak dan Cahaya.
Bahawa kelebihan Rejab atas bulan-bulan yang lainnya seperti kelebihan Al-Qur'an atas segala kalam. Kelebihan Syaaban atas bulan-bulan yang lainnya seperti kelebihanKu atas segala Anbiya' (Nabi-nabi). Kelebihan Ramadan atas bulan-bulan yang lain seperti kelebihan Allah atas sekalian makhluk-Nya."
Bulan Syaaban, keagungan malamnya dengan Nisfu Syaaban seperti keagungan Ramadan dengan Lailatulqadarnya. Maka pada Malam Nisfu Syaaban telah datang Malaikat Jibril kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam lalu katanya : "Angkat kepalamu ke langit, itulah malam yang Allah padanya tiga ratus rahmat dan diampunkan Allah sekalian orang yang menyekutukan (syirik) dengan-Nya sesuatu kecuali tukang nujum, kekal dalam zina, kekal minum arak, derhaka terhadap ibu bapa. Allah menjelaskan kepada hamba-Nya pada Malam Nisfu Syaaban maka diampunkan dosa segala makhlukNya melainkan orang syirik dan orang yang tidak bertutur dengan saudaranya."
Disebutkan di dalam Kitab Iqna' bahawa Malaikat Jibril bersungguh-sungguh pada Malam Nisfu Syaaban menunaikan segala hajat. Maka datanglah Jibril kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam. Kali keduanya katanya : "Ya Muhammad! Gembirakanlah kamu bahawa Allah Subhanahu Wata'ala telah mengampunkan segala umatmu orang yang tidak menyekutukan-Nya sesuatu, angkatkan kepalamu, lalu Rasulullah mengangkatkan kepalanya, tiba-tiba terbuka segala pintu Syurga."
Malam Nisfu Syaaban adalah Hari Raya bagi para malaikat, begitu juga pada Malam Lailatulqadar mereka tidak tidur, dipenuhi dengan amal dan ibadat sepanjang malamnya. Dan bagi anak-anak Adam berhari raya pada siang hari dengan berpuasa dan ibadat, kerana mereka tidur pada malamnya.
Allah tidak akan mengampunkan dosa pada Malam Nisfu Syaaban enam orang :
1. Orang yang kekal minum arak.
3. Orang yang kekal dalam zina.
4. Orang yang banyakberkelahi.
5. Orang yang melakukan perjualan dengan sumpah yang dusta.
6. Orang yang memperlagakan orang supaya berkelahi.
Pada Malam Nisfu Syaaban setelah berlalu 1/3 malamnya, Allah turunkan ke langit dunia lalu berfirman yang bermaksud : "Adakah orang-orang yang meminta maka Aku perkenankan permintaannya, adakah orang yang meminta ampun maka Aku ampunkannya, adakah orang bertaubat maka Aku taubatkannya dan diampunkan bagi sekalian orang mukmin lelaki dan perempuan melainkan orang yang berzina atau orang yang berdendam marah hatinya kepada saudaranya."
Islam mahu melahirkan umat yang berkualiti dalam ibadat, masa dan pekerjaan yang mana ia tidak menyuruh kita sekadar menunaikan ibadat khusus seperti sembahyang, puasa dan bersedekah sahaja tetapi juga menekankan agar setiap ibadat yang dilakukan mampu melahirkan umat yang sedar siapa mereka dan apa tanggungjawab mereka. Ingatlah bahawa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam pernah memarahi sahabat yang hanya mahu beribadat khusus sahaja sedangkan Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam sendiri bukan sahaja merupakan orang yang kuat beribadat khusus, memohon keampunan malah Baginda juga sebagai bapa, suami, ahli masyarakat dan juga yang paling besar dan berat adalah sebagai pemimpin negara. Semuanya dikira ibadat jika dilakukan mengikut landasan Islam. Kita jangan termakan dengan dakyah sesat golongan kafir yang menyatakan ibadat adalah perkara yang berkaitan dengan sembahyang, puasa, haji dan ibadat khusus yang lain sahaja tanpa mempedulikan kewajipan kita yang besar seperti tanggungjawab terhadap kerja, keluarga, masyarakat setempat dan juga pemerintahan negara.